Monday, September 22, 2008

United, Chelsea sama handal

Chelsea, United sama handal
LONDON - Pertembungan membabitkan dua kelab gergasi, Chelsea dan Manchester United dalam kempen Liga Perdana England di Stamford Bridge semalam berakhir dengan keputusan seri 1-1.
Bagaimanapun, pujian harus diberikan kepada pemain gantian The Blues, Salomon Kalou yang menyelamatkan maruah tuan rumah apabila berjaya menjaringkan gol penyamaan pada minit ke-80.
Kalou yang menggantikan Michael Ballack pada minit ke-74 memberi keceriaan kepada penyokong Chelsea apabila meledak gol penyamaan, sekali gus menafikan hajat United untuk meraih kemenangan.
Keputusan itu menyaksikan Chelsea terus kekal dengan rekod tanpa kalah dalam 85 perlawanan liga di Stamford Bridge.
Terdahulu, United berpeluang membawa pulang dengan tiga mata selepas bintang antarabangsa Korea Selatan, Park Ji-sung meletakan juara bertahan itu di hadapan pada minit ke-18.
Ji-sung (kanan) bersaing dengan pemain Chelsea, Jose Bosingwa pada aksi di Stamford Bridge semalam.
Bagi pengurus Chelsea, Luiz Felipe Scolari, keputusan seri yang dicatat di gelanggang sendiri semalam adalah satu keputusan yang positif ketika anak buahnya terus mengekalkan rekod tanpa kalah musim ini.
"Mereka (United) berjaya mengawal permainan dalam tempoh 15 minit pertama tetapi dari segi corak serangan, kami lebih baik berbanding mereka," jelas Scolari yang kehilangan khidmat pemain tengah, Deco pada aksi penting semalam.
"Namun, kami melakukan beberapa kesilapan kecil di hadapan pintu gol, sekali gus memberi ruang kepada United menjaringkan satu gol."
Dengan keputusan seri itu, Chelsea berkongsi 11 mata dengan Liverpool untuk berada di belakang Arsenal yang berjaya menguasai takhta liga dengan kelebihan satu mata.
United pula yang tewas kepada Liverpool minggu lalu sekadar menghuni kedudukan ke-14 dengan hanya mengumpul lima mata daripada empat perlawanan.
Sementara itu, Ji-sung yang dipilih sebagai pemain terbaik perlawanan mengakui, dia begitu kecewa dengan kegagalan United meraih mata penuh di Stamford Bridge.
"Memang mengecewakan kerana kami hampir memenangi perlawanan ini ketika saingan hanya berbaki sepuluh minit," jelas Ji-sung yang bergandingan bersama Owen Hargreaves, Paul Scholes dan Darren Fletcher di bahagian tengah United.
"Kami cuba untuk menyerang dan memperoleh banyak peluang untuk menjaringkan gol. Namun kesudahannya kami hanya berjaya menjaringkan satu gol.
"Misi kami adalah meraih kemenangan tetapi hanya satu mata berjaya kami peroleh." - Reuters

No comments: