Monday, September 22, 2008

Inter Milan pimpin takhta

Inter pimpin takhta
IBRAHIMOVIC meraikan jaringannya ketika menentang Torino pada aksi Serie A semalam.
MILAN - Inter Milan mempamerkan corak permainan menarik untuk melonjak ke kedudukan teratas saingan Serie A buat kali pertama musim ini selepas mencatat kemenangan 3-1 ke atas Torino semalam.
Juara bertahan sebanyak tiga kali itu memperoleh gol pertama hasil jaringan sendiri Marco Pisano dan satu gol masing-masing menerusi Maicon dan Zlatan Ibrahimovic.
Kemenangan yang dicatat hadir hanya empat hari selepas Inter menewaskan Panathinaikos 2-0 pada aksi Liga Juara-Juara minggu lalu.
Selepas tiga perlawanan, Inter memimpin kedudukan teratas dan berkongsi tujuh mata bersama Juventus.
Pada aksi di Stadium Olimpik di Turin semalam, jurulatih Inter, Jose Mourinho mempertaruhkan tiga penyerang yang diketuai oleh Ibrahimovic, Mancini dan Adriano.
Mancini menyambar hantaran daripada Adriano dan melepaskan satu sepakan yang kencang dalam kotak penalti tetapi terkena pemain pertahanan Torino, Pisano lalu menerjah jaring untuk menghadiahkan gol pertama pada minit ke-24.
Dua minit kemudian, Ibrahimovic beraksi cemerlang untuk membantu pemain pertahanan Brazil, Maicon menjaringkan gol kedua Inter sebelum dia meledakkan gol kedua peribadi musim ini pada minit ke-51 hasil satu serangan balas yang pantas.
Namun Elvis Abbruscato berjaya merapatkan jurang pada minit ke-76 dan kemudiannya sekali lagi mencemaskan pintu gol Inter tetapi percubaannya terkena palang pada minit ke-86.

Mata duitan dalam Bolasepak

Isu mata duitan: Dedah gaji sebenar pemain
SEMUA Persatuan Bola Sepak Negeri (FA) disaran mendedahkan gaji sebenar pemain masing-masing.
Beberapa peminat tempatan memaklumkan bahawa perkara itu perlu dibuat sebelum sepak mula Liga Malaysia (Liga M) musim depan bermula secara rasmi pada 3 Januari 2009.
Mereka percaya langkah itu mampu mengekang sifat mata duitan sesetengah pemain dalam menetapkan harga khidmat mereka.
Seorang peminat dari Dungun, Sulong Abdul Rahman, 63, berkata, setiap persa- tuan perlu bersikap jujur dan tidak menyembunyikan fakta mengenai gaji pemain.
"Umumkan kepada peminat melalui media gaji semua pemain dan nyatakan elaun serta insentif tetap yang lain.
"Jangan pula umum jumlah lain, tetapi ada pula bayaran lain dibuat melalui 'bawah meja' atau bayaran tersembunyi.
"Saya tak kata bayaran itu ada unsur rasuah, cuma kurang manis dari segi moral kerana gaji tambahan tidak diisytiharkan kepada peminat," kata Sulong kepada Kosmo! semalam.
Sulong berkata demikian bagi menyokong teguran beberapa pihak mengenai sikap tamak sesetengah pemain yang disiarkan Kosmo! pada 19 September lalu.
Jelasnya, pendedahan Timbalan Persatuan Bola Sepak Selangor, Datuk Mokhtar Ahmad yang mengatakan bahawa ada pemain meminta gaji antara RM8,000 hingga RM16,000 sebulan amat wajar diambil perhatian.
"Elok pandangan peminat diambil kira. Jangan ingat kami dah tak ambil pusing apa yang berlaku dalam bola sepak negara.
"Dalam hal ini, walaupun pemain tamak, kalau persatuan bola sepak negeri tak layan dan sepakat 'ajar' pemain, tentu harga melampau tak jadi barah.
"Hal ini perlu ada kesungguhan pihak persatuan. Ini tidak, ada persatuan takut terlepas kontrak dengan pemain tertentu lalu setuju gaji mahal dibayar," katanya.
Seorang lagi peminat, Embong Md. Salleh, 66, dari Marang, berkata, langkah itu perlu membabitkan kerjasama Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).
Katanya, FAM perlu memantau perkara itu dengan meminta setiap persatuan memberi senarai lengkap pemain serta jumlah gaji yang dibayar.
"FAM kenalah betul-betul periksa perkara itu dan tidak berlaku 'permainan' yang tidak sepatutnya.
"Ini hanya satu peringatan, bukan tudu- han. Kami bukan pandang serong kepada mana-mana pihak. Harap kenyataan ini difahami," katanya.
Menurut Embong, dia terdorong membuat teguran itu kerana tidak tergamak terus melihat mutu bola sepak negara terus merosot.
Seorang lagi peminat, Harun Sulaiman, 57, pula berharap selepas ini akan ada pihak berkenaan tampil menyahut saranan yang dikemukakan.
"Tak perlu takut membuat pendedahan gaji pemain kerana itu baik untuk kemajuan bola sepak negara dalam jangka masa panjang," kata Harun.

United, Chelsea sama handal

Chelsea, United sama handal
LONDON - Pertembungan membabitkan dua kelab gergasi, Chelsea dan Manchester United dalam kempen Liga Perdana England di Stamford Bridge semalam berakhir dengan keputusan seri 1-1.
Bagaimanapun, pujian harus diberikan kepada pemain gantian The Blues, Salomon Kalou yang menyelamatkan maruah tuan rumah apabila berjaya menjaringkan gol penyamaan pada minit ke-80.
Kalou yang menggantikan Michael Ballack pada minit ke-74 memberi keceriaan kepada penyokong Chelsea apabila meledak gol penyamaan, sekali gus menafikan hajat United untuk meraih kemenangan.
Keputusan itu menyaksikan Chelsea terus kekal dengan rekod tanpa kalah dalam 85 perlawanan liga di Stamford Bridge.
Terdahulu, United berpeluang membawa pulang dengan tiga mata selepas bintang antarabangsa Korea Selatan, Park Ji-sung meletakan juara bertahan itu di hadapan pada minit ke-18.
Ji-sung (kanan) bersaing dengan pemain Chelsea, Jose Bosingwa pada aksi di Stamford Bridge semalam.
Bagi pengurus Chelsea, Luiz Felipe Scolari, keputusan seri yang dicatat di gelanggang sendiri semalam adalah satu keputusan yang positif ketika anak buahnya terus mengekalkan rekod tanpa kalah musim ini.
"Mereka (United) berjaya mengawal permainan dalam tempoh 15 minit pertama tetapi dari segi corak serangan, kami lebih baik berbanding mereka," jelas Scolari yang kehilangan khidmat pemain tengah, Deco pada aksi penting semalam.
"Namun, kami melakukan beberapa kesilapan kecil di hadapan pintu gol, sekali gus memberi ruang kepada United menjaringkan satu gol."
Dengan keputusan seri itu, Chelsea berkongsi 11 mata dengan Liverpool untuk berada di belakang Arsenal yang berjaya menguasai takhta liga dengan kelebihan satu mata.
United pula yang tewas kepada Liverpool minggu lalu sekadar menghuni kedudukan ke-14 dengan hanya mengumpul lima mata daripada empat perlawanan.
Sementara itu, Ji-sung yang dipilih sebagai pemain terbaik perlawanan mengakui, dia begitu kecewa dengan kegagalan United meraih mata penuh di Stamford Bridge.
"Memang mengecewakan kerana kami hampir memenangi perlawanan ini ketika saingan hanya berbaki sepuluh minit," jelas Ji-sung yang bergandingan bersama Owen Hargreaves, Paul Scholes dan Darren Fletcher di bahagian tengah United.
"Kami cuba untuk menyerang dan memperoleh banyak peluang untuk menjaringkan gol. Namun kesudahannya kami hanya berjaya menjaringkan satu gol.
"Misi kami adalah meraih kemenangan tetapi hanya satu mata berjaya kami peroleh." - Reuters

F1 Malam Bimbangkan pelumba

F1 malam bimbangkan pelumba
Oleh sayed hesham idris
Singapura akan menganjurkan perlumbaan F1 malam pertama minggu depan.
Berlumba pada waktu siang sudah menjadi kelaziman dalam perlumbaan kereta yang menuntut kepantasan maksimum, Formula Satu (F1).
Namun perlumbaan F1 GP Singapura minggu depan menjanjikan cabaran berbeza apabila buat pertama kali perlumbaan tersebut akan diadakan pada waktu malam.
Debarannya ditambah pula dengan saingan di litar jalan raya dan bukannya litar khas seperti dalam siri pusingan di litar khas.
Perlumbaan malam itu sememangnya amat dinanti-nantikan oleh para peminat F1 di seluruh dunia.
Perlumbaan pada waktu malam itu akan menjadikan ia perlumbaan yang amat mendebarkan.
Bagi para pelumba, timbul pelbagai reaksi mengenai perlumbaan tersebut.
Ada yang sudah tidak sabar-sabar untuk merasai pengalaman berbeza memecut di trek yang diterangi cahaya lampu.
Namun ada juga yang bimbang terhadap faktor keselamatan memandangkan perlumbaan diadakan di litar jalan raya, juga faktor cuaca.
Bagi pendahulu keseluruhan, Lewis Hamilton dari McLaren, dia menjangkakan perlumbaan malam yang pertama kali diadakan di litar jalan raya di Singapura lebih sukar dan begitu teknikal berbanding di litar biasa.
''Sukar untuk membayangkan bagaimana keadaan berlumba di waktu malam.
''Berlumba atas litar dengan dinding bata setiap sudut, membuatkan saya rasa perlumbaan tersebut begitu teknikal dan sukar untuk memotong, termasuk bayang-bayang dan sebagainya,'' kata pelumba Britain yang berusia 23 tahun itu.
Perlumbaan malam yang akan diadakan di jalan raya Central Business Distric, Kota Singa itu telah mendapat perhatian di kalangan seteru Hamilton, Kimi Raikkonen.
Menurut pelumba Ferrari itu, litar di Singapura begitu asing baginya.
“Saya akan ke sana lebih awal untuk melihat dan berjalan di litar tersebut bersama jurutera saya.
''Kami akan memandu di sekitar kawasan tersebut untuk memastikan saya mengetahui semuanya termasuk bonggol dan selekoh,'' kata Raikkonen.
Bagi rakan sepasukan Raikkonen, Felipe Massa, GP Singapura tetap diselubungi kebimbangan dari aspek keselamatan kerana ia diadakan pada waktu malam.
“Ia litar baru, kami tidak tahu langsung mengenainya, jadual perlumbaan, masa perlumbaan.
“Kami agak bimbang terhadap perlumbaan malam, cuaca buruk mungkin melanda ketika perlumbaan,’’
“Ia satu persoalan besar bagi semua orang, kita tidak harus memandang ringan apa jua keadaan yang mungkin melanda,’’ kata Massa.
Singapura menjadi litar baru kedua bagi perlumbaan F1 di trek laluan jalan raya selepas Valencia.
Perlumbaan F1 pusingan ke-15 di Singapura mencetus kebimbangan kerana ia diadakan pada penghujung musim monsun.
Tidak seperti trek di Valencia yang pernah mengadakan perlumbaan formula untuk kelas remaja sebulan sebelum perlumbaan F1 GP Valencia bagi mengenal pasti sebarang masalah, sebaliknya trek F1 di GP Singapura tidak diuji.
Bagi pelumba Toyota, Jarno Trulli, trek di Valencia, penganjur melakukan tugas dengan baik, jadi saya yakin penganjur dapat menjalankan tugas dengan baik untuk GP Singapura.
“Cuma lokasi trek di Singapura ini berbeza (berbanding Valencia di Eropah), begitu juga perbezaan cuaca.
“Kami semua agak kurang pasti dalam banyak hal atau mungkin juga kerana tidak banyak data mengenai trek di Singapura yang kami peroleh.
“Saya belum melihat bentuk trek, namun ia bukan masalah. Tetapi masalah yang lebih utama ialah kami tidak tahu sama ada trek tersebut cukup baik untuk perlumbaan F1.
“Adakah permukaan jalan cukup bagus, adakah faktor keselamatan cukup bagus untuk perlumbaan malam, bagaimana jika trek basah.
“Wujud pelbagai pertanyaan dan persoalan. Saya bukan tidak mahu berlumba di sana, cuma kita perlu mengambil kira dan mengatasi beberapa masalah yang timbul pada perlumbaan di Valencia,” kata Trulli.
Sementara itu, sejajar dengan kelainan iaitu perlumbaan malam pertama F1, penganjur perlumbaan `F1 SingTel Singapore Grand Prix’ baru-baru ini telah menunjukkan sistem lampu yang akan digunakan pada perlumbaan malam pertama itu.
Perunding lampu untuk perlumbaan itu, Valerio Maioli S.p.A. memetik suis 16 projektor lampu yang diletakkan di atas kawasan seluas 64 meter di Jalan St. Andrew.
Cahaya yang dipancarkan dari lampu tersebut menjadikan trek cerah dan kelihatan seperti pada waktu siang.
Secara keseluruhan, hampir 1,500 lampu projektor akan dijana oleh 12 generator berkembar.
Ia akan menghasilkan keseluruhan peringkat 3000lux, iaitu tahap untuk menerangi litar yang menyamai standard HDT (High Definition Television).
Ini bermakna litar yang akan digunakan dalam perlumbaan F1 kelak, empat kali lebih terang berbanding kecerahan jika menggunakan lampu limpah di stadium biasa.
Pemasangan sistem lampu dilaksanakan secara berperingkat yang bermula di Pit Straight pada Mei lalu dan siap pada 31 Ogos lalu.

Robinho RM 1juta Seminggu

Robinho terima gaji RM1j seminggu
PENYERANG sensasi Brazil, Robinho tidak sekadar mencatat rekod yuran perpindahan tertinggi Liga Perdana England (EPL) dengan bayaran 32.5 juta pound atau RM199 juta apabila menyertai Manchester City Selasa lalu malahan dia merupakan sensasi baru dalam EPL musim ini.
Robinho, 24, bekas penyerang Real Madrid dilaporkan menerima gaji AS$300,000 atau lebih RM1 juta seminggu di City, menjadikan dia pemain mendapat bayaran paling tinggi.
City yang baru mendapat suntikan kewangan daripada pengambil alihan kelab oleh kumpulan perniagaan Emiriah Arab Bersatu, Kumpulan Abu Dhabi United (ADUG) membuat tawaran lumayan untuk penyerang berusia 24 tahun itu.
Sebelum ini, Robinho mengulangi hasratnya mahu meninggalkan Real Madrid tetapi bukan untuk menyertai City, sebaliknya Chelsea.
Chelsea merupakan kelab yang bersungguh-sungguh mahu mendapatkan pemain muda Brazil itu sebelum ini, namun hubungan dingin mereka dengan Real, ditambah tawaran lebih menarik yang dikemukakan City menjadikan keputusan berpihak kepada City.
Robinho membantu Real Madrid merangkul kejuaraan liga Sepanyol sejak dua musim lalu.
Pemain itu menjaringkan 11 gol dalam 42 penampilan bersama Brazil.
City membayar 6 juta euro (RM29.9 juta) semusim kepada pemain itu iaitu tiga kali ganda daripada gaji yang diterimanya ketika di Madrid.
Penyerang Brazil, Jo, merupakan antara pemain yang paling berani dalam sejarah EPL apabila sanggup menyertai City pada awal musim ini sedangkan City sebuah kelab yang tidak pernah memenangi sebarang trofi besar sejak 1976.
Chelsea sebelum ini amat yakin akan mendapatkan Robinho, pemain yang pastinya mampu melariskan jualan jersi kelab itu, namun tawaran 32 juta euro (RM159.2 juta) mereka ditolak oleh Real.
Begitupun Presiden Real, Ramon Calderon menyifatkan Robinho ke City sebagai pemain yang kecewa dan berdepan tekanan perasaan.
Alasan itu juga dikatakan telah mendorong Madrid bertindak menjual pemain itu kepada City.
“Mental pemain itu teruk. Masalah yang membelenggunya lebih teruk daripada apa yang kami jangkakan. Apabila kami berbincang mengenai kedudukannya, dia menangis dan meminta dilepaskan.
“Sebenarnya kami tidak berniat menjualnya namun kami terpaksa (menjualnya) atas sebab kemanusiaan dan kesukanan,’’ kata Calderon.
Namun Robinho mempunyai alasan tersendiri untuk meninggalkan Madrid. Kelab itu didakwanya telah memperlekehkan bakatnya kerana mahu mendapatkan penyerang Portugal dan Manchester United, Cristiano Ronaldo.
Madrid dikatakan mahu menjual Robinho dan bayaran perpindahan tersebut kemudian akan digunakan untuk membeli Ronaldo.
Begitupun `trend’ berbelanja besar untuk mendapatkan pemain ternama dipandang sinis oleh pengurus Arsenal, Arsene Wenger yang berpendapat kekayaan sesebuah kelab bukan jaminan ia akan bergelar juara.
“Wang bukanlah segala-galanya dalam mengejar kejuaraan. Anda tidak perlu memiliki jutawan. Banyak kelab yang berbelanja besar tetapi tidak semuanya berjaya.
“Kami juga memiliki kewangan besar tetapi membelanjakannya dengan baik,’’ kata Wenger.
Selain Robinho, EPL turut mencatat perpindahan dengan bayaran tinggi musim ini yang melibatkan beberapa pemain lain seperti Dimitar Berbatov dari Tottenham Hotspur ke Manchester United, sebanyak 30.75 juta pound iaitu yang kedua tertinggi selepas Robinho.
Seorang lagi pemain Tottenham Robbie Keane menyertai Liverpool dengan bayaran 20.3 juta pound, pemain Brazil, Jo menyertai City dari SCKA Moscow dengan bayaran 18 juta pound.
Lain-lain pemain luar yang berhijrah ke EPL termasuk Luka Modric (Dinamo Zagreb ke Tottenham Hotspur), Roman Pavlyuchenko (Spartak Moscow ke Tottenham Hotspur) dan Samir Nasri (Olympique Marseille ke Arsenal).
EPL liga terkaya di dunia
Rekod baru telah dicatatkan apabila sebanyak 500 juta pound (RM3.05 bilion) dibelanjakan oleh kelab-kelab EPL musim ini untuk membeli pemain dalam pasaran pertengahan tahun.
Perpindahan di saat akhir Selasa lalu menyaksikan Robinho berpindah dari Real Madrid ke Manchester City dengan nilai perpindahan 32.5 juta pound dan Dimitar Berbatov berhijrah dari Tottenham Hotspur ke Manchester United dengan bayaran RM188 juta) menjadikan jumlah yang digunakan bernilai 500 juta pound (RM3.05 bilion).
Ini bermakna jumlah yang dibelanjakan bagi membeli pemain musim ini meningkat sebanyak 30 juta pound (RM183 juta) berbanding musim lalu.

United Tidak sabar Menanti Chelsea

United bagai singa luka, dendam Chelsea membara
Oleh FERZALFIE FAUZI
Cristiano Ronaldo
PERTEMBUNGAN dua musuh rapat musim lalu Chelsea dan Manchester United dalam Liga Perdana England (EPL) kembali memuncak, selepas mereka dijadualkan bertemu semula pada saingan musim ini esok.
Jika diimbas kembali persaingan antara dua kelab itu musim lalu, tuah ternyata milik pasukan bimbingan Sir Alex Ferguson, bukan sahaja berjaya merangkul kejuaraan liga malah turut menggondol gelaran Liga Juara-juara Eropah mengalahkan Chelsea dengan penentuan sepakan penalti.
Pada pertembungan musim lalu masing-masing berjaya memenangi perlawanan di laman sendiri dengan United menumpaskan Chelsea 2-0 di Old Trafford, sebelum Chelsea memulangkan `paku buah keras’ di Stamford Bridge dengan menang 2-1.
Kedua-dua pasukan mempunyai matlamat masing-masing dalam pertembungan esok, jika Chelsea mahu meneruskan rekod tanpa kalah, United pula mahu mengubat kekecewaan selepas tewas kepada Liverpool minggu lalu.
Pasukan Red Devils boleh dianggap sebagai ‘singa luka’ yang akan mencari pasukan lain untuk dijadikan mangsa amukan, lebih mengujakan mereka akan mendapatkan semula sentuhan pemain sayap Portugal, Cristiano Ronaldo.
MantapPemain yang memakai jersi nombor tujuh dan memiliki sepasang kaki `tergantung’ itu pasti akan menjadi sandaran utama walaupun tidak dapat membantu United mencatat kemenangan dalam Liga Juara-juara Eropah bertemu Villarreal Rabu lalu.
Ronaldo yang baru pulih dari kecederaan buku lali menjadi tonggak utama United musim lalu dan akan kembali esok dengan membawa harapan tinggi dari peminat setia Red Devils.
Sedikit mendukacitakan buat pasukan bimbingan Ferguson itu apabila mereka tidak dapat menurunkan pertahanan tengah Nemanja Vidic yang digantung selepas dilayangkan kad merah ketika bertemu Liverpool minggu lalu.
Selain itu United juga kehilangan pemain tengah Micheal Carrick yang mengalami kecederaan juga ketika bertemu Liverpool di Anfield, Sabtu lepas.
Sementara itu Chelsea pula berada dalam keadaan terbaik dari setiap sudut, mereka cuma kehilangan Michael Essien yang mengalami kecederaan lutut sementara pemain lain sudah bersedia untuk menggempur United.
Jika United memiliki sentuhan emas dari Portugal (Ronaldo), Chelsea juga tidak ketinggalan mempunyai tonggak dari negara `Brazil Eropah’ itu, bukan sahaja satu tetapi dua pemain yang baru dibelinya musim ini.
Deco dan Jose Bosingwa tidak menghadapi masalah dalam aksi pertama mereka di EPL, malah berjumpa kembali dengan jurulatih yang membimbing mereka dalam pasukan kebangsaan Luis Felipe Scolari.
Persembahan mantap dari Deco membolehkannya dinobatkan sebagai pemain terbaik EPL untuk bulan Ogos selepas menjaringkan dua gol dalam empat perlawanan.
Tanpa perlu mengharapkan barisan penyerang, Chelsea mempunyai rangkaian pemain tengah yang mampu untuk menjaringkan gol tidak kira dari sudut mana sekali pun.
Frank Lampard, Joe Cole, Deco, Florent Malouda dan Michael Ballack merupakan pemain tengah yang mampu memberikan ancaman di gawang United.
Manakala kehadiran semula John Terry yang terselamat dari episod penggantungan selepas Persatuan Bola Sepak England (FA) menarik semula keputusan itu memberi kelegaan buat Chelsea.
United pula mungkin terpaksa menggunakan pertahanan muda Jonathan Evans dari Ireland Utara untuk menggantikan tempat yang ditinggalkan Vidic.
Walau apa pun ramalan dan telahan ia bergantung kepada perlawanan esok dan mereka yang mampu menyerap tekanan serta menguasai bahagian tengah bakal menjadi pemenang.
Dendam membara Terry dan rakan-rakan masih lagi meluap selepas mereka dikecewakan oleh United sebanyak dua kali musim lalu.
Sementara Ronaldo perlu membuktikan kehebatannya dan mempamerkan persembahan hebat sebagai tanda kemaafan kepada peminat United selepas keinginannya untuk menyarung jersi Real Madrid menimbulkan kemarahan penyokong.

Alzheimer Penyebab Nyanyuk

Alzheimer penyebab nyanyuk
OLEH RABIATUL ADAWIYAH KOH ABDULLAHadawiyah@utusan.com.my
Sel-sel Alzheimer
PENYAKIT Alzheimer ialah bentuk penyakit nyanyuk (dementia) paling umum yang dialami oleh manusia berusia 65 tahun dan ke atas. Ini bukan sebahagian daripada proses penuaan normal, tetapi penyakit yang menyebabkan kehilangan progresif sel saraf otak. Memandangkan sel saraf ini penting untuk pemikiran normal, daya ingatan dan fungsi otak, mereka yang menghidap penyakit Alzheimer mengalami kemerosotan fungsi otak yang mengganggu kegiatan harian normal mereka.
Secara beransur-ansur, pesakit Alzheimer hilang keupayaan mereka untuk melakukan kegiatan harian paling asas seperti memberus gigi, memakai pakaian, mandi dan lain-lain. Pada akhirnya, keupayaan mereka untuk berjalan dan bercakap juga mungkin terjejas atau hilang sama sekali.
Dikenali sebagai penyakit 'The Long Goodbye', penyakit ini lazimnya meliputi tempoh lebih sepuluh hingga 20 tahun. Walaupun penyelidikan intensif dijalankan kebelakangan ini, penyakit Alzheimer masih belum difahami sepenuhnya dan tiada penawar yang diketahui, lantas pengesanan dan rawatan awal merupakan satu-satunya pilihan untuk menguruskan penyakit dengan berkesan.
Menurut Pakar Runding Geriatrik Pusat Perubatan Universiti Malaya, Prof Dr Philip Poi Jun Hua, Alzheimer sejenis penyakit otak degeneratif yang dialami oleh kira-kira 24 juta orang di seluruh dunia.
"Perkara yang sering dikhuatiri ialah kepatuhan pengambilan ubat kerana penyakit Alzheimer menjejaskan daya ingatan seseorang. Pesakit mungkin lupa mengambil ubat atau terlupa mereka telah mengambil dos.
"Maklum balas daripada para penjaga pesakit menunjukkan bahawa sering kali, pesakit enggan mengambil ubat kerana berpendapat mereka tidak menghidap sebarang penyakit. Kaedah pemberian ubat baru ini memberikan pilihan tambahan yang amat dihargai kepada kira-kira 50,000 rakyat Malaysia lanjut usia yang menghidap penyakit ini," katanya ketika majlis pelancaran rawatan transdermal penyakit Alzheimer's, Exelon Patch.
Sementara itu, Ketua Perubatan, Novartis Corporation (Malaysia), Dr Premila Paranchothy, memberitahu, rawatan ini menawarkan manfaat terapeutik yang unik dengan mengekalkan kandungan ubat yang sama dalam aliran darah, lantas mengurangkan kesan sampingan gastrousus seperti loya dan muntah.
"Keupayaan memberi pesakit rawatan yang berkesan menerusi tampalan yang mudah dan senang digunakan merupakan satu kemajuan besar. Bagi penjaga, tampalan ini memberikan jaminan yang nyata bahawa pesakit telah mengambil ubat, jadi mereka tidak perlu lagi bimbang tentang perkara ini," katanya.
Dalam pada itu, Dr. Philip memberitahu, Alzheimer sekarang menjadi masalah kesihatan umum utama yang semakin serius dihadapi oleh golongan warga emas dan memerlukan penjagaan keluarga mereka.
"Alzheimer merupakan penyakit nyanyuk yang biasa menyerang warga emas. Mengikut statistik Asia Pasifik, penghidap penyakit ini telah mencecah 18 juta orang. Lebih kurang 60,000 orang di Malaysia merupakan penghidap Alzheimer. Dijangka pada tahun 2020, angka ini akan berganda kepada 120,000 orang," katanya.
Tambah Dr. Philip, berkorban masa dan tenaga menjaga warga emas yang menghidap penyakit Alzheimer atau nyanyuk bukanlah satu perkara mudah.
"Penyakit Alzheimer bukan hanya nyanyuk yang disebabkan proses penuaan. Sebaliknya, ia adalah sejenis masalah kesihatan yang memerlukan perhatian daripada keluarga pesakit. Ia menyebabkan keupayaan fungsi otak menurun dan memusnahkan kemahiran daya ingatan dan pemikiran seseorang," jelasnya.
Risiko untuk menghidap Alzheimer, penyakit yang sinonim dengan warga tua ini, meningkat seiring dengan pertambahan usia.
Menurut Dr. Philip, simptom dementia yang paling awal adalah menjadi pelupa terutama mengenai perkara penting dan dilakukan setiap hari. Mereka perlu dibawa berjumpa doktor bagi menjalani pemeriksaan bagi mengesahkannya.
Jelasnya, sebaik sahaja menusia mencecah 20 tahu, proses kematian sel-sel di dalam otak mula berlaku dan menyebabkan otak mengecut. Kemusnahan sel-sel otak secara berterusan menyebabkan kualiti daya ingatan semakin berkurangan.
Dr. Philip memberitahu, dementia merujuk kepada sekumpulan gejala yang berkaitan dengan hilang ingatan, berlaku secara perlahan-lahan tanpa disedari tetapi akhirnya boleh menjadi bertambah teruk.
Akibatnya, seseorang sukar mengingat sesuatu dan menjejaskan keupayaannya untuk berfikir dengan baik hingga boleh mengganggu aktiviti normal dan rutin seperti makan dan menguruskan kebersihan diri.
"Selain kemerosotan pemikiran, pesakit turut mengalami perubahan dari segi personaliti dan tingkah laku serta perasaan mereka.
Menurutnya, sekiranya pesakit mendapat rawatan pada peringkat awal, ia sekali gus mampu mengurangkan masalah penjagaan yang membebankan ahli keluarga.
"Mengesan gejala Alzheimer pada peringkat awal merupakan satu kelebihan. Doktor boleh memberi panduan tentang tanda-tanda awal demetia. Jika pesakit benar-benar disahkan mengidap Alzheimer, keluarga pesakit mempunyai lebih masa untuk membuat rancangan pada masa depan. Rawatan boleh dilakukan awal dan ia lebih efektif," katanya.
Dr. Philip menjelaskan, ketika diagnosis dijalankan, doktor memerlukan maklumat pesakit daripada keluarga dan kawan-kawan, ujian fizikal dan neurologikal serta ujian makmal. Selain itu, doktor akan melakukan ujian neuropsikologikal di samping melakukan imbasan imej menggunakan CT atau Magnetic Resonance Imaging (MRI). Katanya, imbasan PET merupakan langkah utama untuk mendapatkan maklumat.
Mengimbas sejarah Alzheimer, penyakit ini ditemui oleh Dr. Alois Alzheimer pada 1907 ini, dinamakan Alzheimer, bersempena nama beliau. Dementia boleh dibahagikan kepada dua, pertama dementia berbalik (reversable) yang boleh dikawal dan kedua tidak berbalik iaitu kekal. Hasil daripada bedah siasat terhadap seorang wanita, Dr. Alzheimer mendapati otak wanita tersebut bukan saja mengecut malah, dipenuhi dengan gumpalan protein yang luar biasa yang dipanggil plak amiloid dan serat yang berbelit-belit (neuro fibrillary).
Individu yang berisiko untuk mendapat penyakit ini ialah seseorang yang menghidap hipertensi apabila mencecah usia 40 tahun ke atas, penghidap diabetes, kurang melakukan senaman, paras kolesterol yang tinggi dan faktor keturunan iaitu mempunyai ahli keluarga yang menghidap penyakit ini pada usia lingkungan 50-an.
Antara simptom lain dementia ialah lupa perkara yang sering dilakukan, cepat penat, sukar membezakan masa, tempat dan orang, hilang daya logik, pelupa, tidak mapu melakukan kegiatan harian dan menyiapkan diri sendiri, tidak boleh menumpukan perhatian, susah mengingat perkataan ketika bercakap dan sukar menamakan objek.
Selain itu, pesakit Alzheimer sering tertekan, merepek, tidak sabar, sukar membezakan masa dan yang paling teruk ialah mereka gagal mengawal ketika membuang air kecil atau besar, tidak mampu berfikir, bercakap dan bergerak malah terdapat juga penghidap Alzheimer hilang sifat malu dan bercakap mengenai hal yang boleh memalukan keluarga atau bertelanjang di tempat umum.
Berikut merupakan sedikit panduan bagi keluarga yang ingin menangani ahli keluarga mereka yang menghidap Alzheimer:
l Selalulah bergurau senda dengan mereka kerana warga emas yang nyanyuk cenderung menyimpan kemahiran bersosial mereka.
l Sebagai orang yang lebih muda, wujudkan mood positif ketika berbual-bual dengan mereka. Berinteraksilah dengan mereka dengan bahasa yang lembut dan sopan sebagai tanda hormat.
l Ingatilah masa-masa indah yang pernah dilalui bersama mereka kerana kebanyakan pesakit nyanyuk tidak mengingati apa yang telah berlaku dalam tempoh 45 minit.
l Ketika berbual-bual dengan mereka, wujudkan suasana tenang. Elakkan bunyi bising seperti telefon bimbit dan radio. Perkenalkan diri anda dan jelaskan hubungan anda dengannya sambil menyentuh tangan dan bahunya.
l Berbual-bual dengan mereka dengan menggunakan bahasa dan ayat yang mudah difahami. kita perlu faham bahawa golongan ini mudah tersentuh. Jadi, anda tidak perlu meninggikan suara. Cukup sekadar bahasa yang jelas dengan nada rendah.
l Pesakit nyanyuk biasanya mudah lupa, jadi anda perlu bersabar setiap kali menunggu jawapan mereka.
l Wujudkan suasana yang bahagia dengan berbual sambil bercerita perkara lucu. Sekiranya mereka dalam mood sedih, cuba tukar persekitaran dan topik cerita.

CMP bukan koyakan ligamen

CMP bukan koyakan ligamen
DOKTOR,Saya tertarik dengan masalah kesihatan Hanim dalam ruangan Tanya Doktor Pakar, keluaran Kesihatan, Mingguan Malaysia pada 20 April lalu.
Saya seorang yang aktif bersukan dan berumur 14 tahun. Masalah yang saya hadapi juga berkenaan dengan lutut. Lutut saya akan berbunyi apabila saya hendak mencangkung ataupun hendak sujud.
Saya pernah berjumpa dengan doktor tetapi doktor berkata yang masalah ini hanyalah perkara biasa. Memang ia tidak berasa sakit tetapi saya hendak tahu mengapakah lutut saya berbunyi sedangkan rakan sebaya saya yang aktif tidak mempunyai masalah ini. Saya berharap agar doktor dapat memberitahu saya apakah puncanya.
- REMAJA
JAWAPAN,
Terima kasih kerana membaca jawapan pada keluaran 20 April tersebut. Masalah yang dihadapi Hanim adalah berkenaan dengan masalah kerosakan atau koyakan ligamen disebabkan kecederaan dalam aktiviti sukan.
Akan tetapi masalah REMAJA pula adalah lebih kepada bunyi pada lutut terutamanya semasa mencangkung dan sujud ketika solat.
Ini lebih kepada masalah rawan terutamanya melibatkan rawan di belakang tempurung lutut yang beratrikulasi dengan tulang femur.
Keadaan ini pada usia anda 14 tahun dinamakan Condromalacia Patella atau CMP. Sila dapatkan artikel saya yang diterbitkan pada 30 September 2007 dalam Mingguan Malaysia (www.utusan.com.my) kerana ada menceritakan berkenaan dengan masalah anda hadapi.
Selalunya imbasan sinar-X pada peringkat awal bagi CMP akan kelihatan normal kerana kerosakan pada rawan tempurung lutut atau patella berlaku pada mulanya di lapisan dasar dan permukaan luar yang berartikulasi dengan tulang paha, belum terjejas lagi.
Pergerakan melipat lutut atau mencangkung akan menyebabkan permukaan dalam patella berada in-contact (berhubung) dengan tulang femur di lipatan lutut, pada sudut 30 darjah.
Ini seterusnya boleh menyebabkan kesakitan dirasai dalam aktiviti yang melibatkan melipat lutut melebihi 30 darjah. CMP tiada kaitan dengan masalah ligamen dalam lutut tetapi anda dinasihatkan agar mengurangkan aktiviti sukan dan aktiviti lasak buat sementara waktu.
Sekiranya masih berterusan, perlulah berjumpa dengan Pakar Ortopedik untuk pemeriksaan lanjut dan juga pemeriksaan sinar-X.. Kerosakan berterusan boleh berlaku pada rawan tempurung lutut yang seterusnya akan merosakkan permukaan rawan tulang femur dalam jangka masa panjang.

Golf kempunan kali ke-6

Malaysia kempunan ke Piala Dunia
KUALA LUMPUR - Hajat Malaysia melayakkan diri ke Kejohanan Golf Piala Dunia selepas tujuh tahun terus menemui jalan buntu apabila gagal melepasi kelayakan pada Cabaran Antarabangsa Fortis, semalam.
Pasangan negara, Ian Steel dan Danny Chiah sekadar berkongsi kedudukan kelima bersama gandingan Singapura, Mardan Mamat dan Lam Chih Bing yang turut mengharungi saingan mengecewakan.
Hanya tiga pasukan terbaik layak beraksi pada kejohanan yang akan berlangsung di Shenzen, China pada 27-30 November itu dan ia menjadi milik Korea Selatan (Bae Sang-moon, Kim Hyung- tae), Filipina (Angelo Que, Mars Pucay) serta Itali yang diperkuatkan oleh Francesco Molinari dan Edoardo Molinari.
Kali terakhir Malaysia berjaya melayakkan diri ke Piala Dunia adalah pada 2001 menerusi pasangan Danny dan P. Gunasegaran, malah Danny turut melayakkan diri pada kejohanan 2000 bersama Rashid Ismail.
Semalam, pasangan negara beraksi baik menggunakan format foursome (bergilir pukulan) apabila mencatat tiga bawah par 69 di Kelab Golf & Country Kota Permai, malangnya catatan itu tidak mampu meletakkan mereka pada kedudukan tiga teratas.
Danny dan Steel mengumpul 11 bawah par 277 selepas tamat empat hari kejohanan - tujuh pukulan di belakang pasukan tangga ketiga, Itali tetapi sembilan pukulan dipisahkan oleh pendahulu, Korea Selatan.
Kombinasi Sang-moon dan Hyung- tae muncul juara Cabaran Fortis selepas menutup saingan di Kota Permai dengan enam bawah par 66 seterusnya mengumpul 20 bawah par 268 keseluruhan.
Pendahulu pusingan sebelumnya, Filipina pula mencatat dua bawah par 70 dan mengumpul 271 pukulan keseluruhan, 17 bawah par.
Nigeria menamatkan cabaran di tempat keempat selepas kombinasi Oyebanji Gboyega dan Odoh Andrew Oche mengumpul 276 pukulan, satu pukulan di depan Singapura dan Malaysia.
"Piala Dunia adalah kejohanan yang berkualiti tinggi dengan dibarisi pemain-pemain handalan, ia merupakan satu pencapaian besar buat kami dapat menjadi sebahagian daripada kejohanan itu.
"Walaupun kami tidak pernah digandingkan sebelum ini, tetapi saya gembira kami berjaya mempamer aksi yang mantap di sini. Saya tidak sabar untuk beraksi pada Piala Dunia di China,'' kata Sang-moon.

YOB tumpul tanpa Import

Perak perit untuk mara selagi tanpa jaringan gol
KUALA LUMPUR - Perak menghadapi masalah ketara untuk melepasi Safa SC Lebanon ke separuh akhir selagi gagal mencari penyamaan dua gol pada perlawanan suku akhir bola sepak Piala AFC di Beirut, esok.
Malah, ketiadaan penyerang utama, Khalid Jamlus kerana kecederaan urat pelipat lutut dan kecekapan penjaga gol lawan, Nazih Tay menyulitkan laluan skuad Seladang untuk mengejar ketinggalan 2-0 daripada suku akhir pertama di Ipoh, minggu lalu.
Khalid cuma mampu bermain 12 minit di Stadium Perak dan kecergasan bekas penyerang negara itu masih diragui dan penggantinya, Danial Fadly Abdullah yang dijadikan penyerang bidan terjun, belum dapat menyesuaikan diri dengan peranan baru itu.
Nazih yang menyelamatkan percubaan berbahaya pemain tengah negara, Hardi Jaafar menerusi sepakan percuma, bakal menjadi 'duri dalam daging' Perak apatah lagi bertemankan sokongan ribuan penyokong mereka di Stadium Sports City, Beirut.
Jurulatih Perak, Steve Darby turut mengakui anak buahnya kekurangan dari segi fizikal dengan lawan apatah lagi turun ke Piala AFC tanpa khidmat dua tonggak import, Carlos Caceres (penyerang) dan pemain tengah, Jorge Munoz sebaik sahaja berakhirnya Piala Malaysia, bulan lalu.
Seorang lagi penyerang tempatan, Razali Umar Kandasamy menghilang setelah tidak turun menjalani latihan manakala khidmat Ahmad Fakri Saarani masih sukar diperoleh kerana bersama skuad bawah 19 tahun Malaysia, Harimau Muda dalam siri persahabatan di luar negara.
Perak juga dijangka melakukan beberapa pertukaran dan perubahan formasi pemain dengan pilihan terdekatnya ialah cuba menggunakan Mohd. Nor Ismail sebagai penyerang dan mengembalikan Danial untuk menjana peluang dan serangan dari tengah.
"Safa SC lebih bagus dari segi itu dan sukar bagi Perak menandingi mana-mana pasukan Asia Barat seperti ini tetapi bukan bererti kami terlalu ketinggalan kerana kami masih banyak mencipta peluang cuma dinafikan oleh penjaga gol mereka," kata Darby, jurulatih dari England.
Menurut Darby, lawan cuma mampu menjaringkan dua gol di Ipoh menerusi gerakan bola mati, masing-masing dengan sentuhan Rony Azar dan Hamid Termina pada minit ke-39 dan 55 yang membuktikan sedikit tuah turut menyebelahi mereka di sebalik peluang yang terhad.
Pencapaian terbaik Perak dalam Piala AFC ialah suku akhir pada 2004 setelah kalah kepada kelab Singapura, Geylang United dengan agregat 5-3 tetapi tahun berikutnya menyaksikan mereka tercorot di peringkat Kumpulan D lagi.
Sementara itu, jurulatih Safa, Samir Saad dalam laman web Gabungan Bola Sepak Asia (AFC), the-afc.com dipetik sebagai berkata, dia tidak menganggap tiket separuh akhir sudah berada di genggaman mereka dengan bekalan kemenangan 2-0 dari Ipoh.
Sekalipun cuma perlu seri tanpa jaringan untuk mara ke separuh akhir, Samir masih mahu anak buahnya memusatkan semula perhatian mereka kepada cabaran lawan di Beirut biarpun berkedudukan selesa kerana turut memiliki kelebihan gelanggang sendiri.
"Taraf kedua-dua pasukan masih sama dan hanya kejayaan menyumbat gol daripada sedikit peluang yang membezakan kami. Tiket separuh akhir belum terjamin dan kami perlu berwaspada kerana mungkin Perak tampil lebih cergas kali ini," katanya.

Skuad Pestabola Diuji

Sathia uji gandingan Nizar, Safee
KUALA LUMPUR - Jurulatih negara, B. Sathianathan dijangka mempertaruhkan semula penyerang senior yang semakin dilupakan, Nizarudin Yusof, 29, untuk bergandingan dengan Safee Sali di barisan serangan dalam Pestabola Merdeka Ke-40, bulan depan.
Gandingan penyerang Polis dan Selangor ini menjadi antara pilihan utama Sathianathan berdasarkan dua perlawanan persahabatan sebagai persediaan Pestabola di Slovakia dengan menentang kelab Rimavska Sabota dan Slovan Bratislava, minggu lalu.
Nizarudin, Safee dan penyerang muda Negeri Sembilan, Zaquan Adha Radzak diturunkan dalam corak serangan serampang tiga Malaysia ketika seri 2-2 dengan Rimavska, Selasa lalu sebelum Sathianathan kembali menggunakan dua penyerang Polis dan Selangor itu apabila dikalahkan Slovan 3-2.
Safee sempat menjaringkan gol ketika menentang Slovan, Khamis lalu menerusi sepakan penalti pada minit ke-88 selepas ketua pasukan, Shukor Adan menyamakan gol menerusi gerakan satu dua sesama mereka pada minit ke-36 dalam perlawanan di Stadium Vion Zlate Moravce itu.
Gandingan Safee-Zaquan begitu berbisa ketika membantu Malaysia menjuarai Pestabola tahun lalu tetapi kemasukan Nizarudin yang dipanggil semula menyarung jersi negara sejak persahabatan dengan Indonesia, Jun lalu, bakal meluaskan pilihan penyerang pasukan negara.
Dalam kiriman e-mel kepada Utusan Malaysia, kata Sathianathan, kelab bahagian satu Liga Super Slovakia itu beroleh dua gol menerusi pemain Uzbekistan, Aziz Ibragimov pada minit ke-22 dan 40 serta Michal Aizbetkin (68) pada perlawanan dengan suhu 12 darjah Celsius.
"Keadaan begitu dingin dan angin bertiup kencang sehingga lawan banyak mengasak kami malah gerakan beberapa pemain Malaysia tidak seperti yang diharapkan," katanya yang berdepan misi sulung antarabangsa tahun ini, Pestabola Merdeka di Petaling Jaya dan Kuala Lumpur dari 15 hingga 25 Oktober.
Percubaan Sathianathan menurunkan Farderin Kadir yang bergandingan dengan Zaquan di barisan depan pada babak kedua pula tidak menjadi dan pemain Kuala Muda Naza itu terpaksa ditukarkan semula dengan Safee sementara beberapa eksperimen di bahagian belakang turut dilakukan.
"Dalam babak pertama perlawanan ini juga, Kaironnisam Sahabuddin Hussain (bekas ketua pasukan negara) yang biasa bermain sebagai bek tengah, diletakkan ke tengah untuk bergandingan dengan Shukor dan saya menggunakan gandingan Aidil Zafuan Radzak-Norhafiz Zamani Misbah tempat lamanya," ujarnya.
Sathianathan turut mencuba penjaga gol Shahzan Muda, Farizal Marlias pada babak pertama menentang Slovan dan menggantikannya dengan Badrulzaman Halim dari PKNS sementara pemain UPB-MyTeam, Syed Adney Syed Hussein direhatkan selepas turun separuh masa menentang Rimavska.
Malaysia akan melalui dua lagi perlawanan persahabatan di Slovakia sebelum dijangka pulang ke tanah air pada Sabtu ini dan bakal kembali ke kem latihan di Wisma FAM, Kelana Jaya menghadapi Pestabola selepas bercuti Hari Raya Aidilfitri selama beberapa hari.

Juara No.1 tumbang dengan Kuncoro

Chong Wei tumbang
LEE Chong Wei gagal mempertahankan kejuaraan Terbuka Jepun yang dimenanginya tahun lalu selepas tunduk kepada Sony Dwi Kuncoro di Tokyo, semalam. – AFP
KUALA LUMPUR - Pemain nombor satu dunia, Datuk Lee Chong Wei gagal mempertahankan mahkota kejuaraan Terbuka Jepun apabila tunduk mudah kepada pemain Indonesia, Sony Dwi Kuncoro pada perlawanan akhir di Gimnasium Metropolitan Tokyo, semalam.
Sementara beregu wanita negara, Chin Eei Hui-Wong Pei Tty turut mengikut jejak Chong Wei kecundang kepada pasangan bukan pilihan dari China, Cheng Shu-Zhao Yunlei.
Chong Wei yang menyertai kejohanan pertama selepas merampas kedudukan pemain nombor satu dunia dari Lin Dan, dua minggu lalu beraksi longlai ke atas lawan yang ditewaskannya di suku akhir Olimpik Beijing, bulan lalu 17-21, 11-21 dalam masa 40 minit.
Chong Wei, 25, pilihan pertama kejohanan hanya berpeluang mendahului lawannya itu sebanyak tiga kali di set pertama sebelum kecundang 17-21.
Chong Wei kelihatan cuba membaiki permainan di set kedua, namun masih gagal menemui rentak sehingga tewas 11-21.
Ia merupakan kejuaraan pertama Kuncoro dalam Siri Super.
Sebelum ini, Chong Wei berpeluang cerah mengukuhkan kedudukan sebagai pemain nombor satu dunia apabila mara ke final Terbuka Jepun selepas menewaskan Zhu Weilun dari China (pusingan pertama), Sho Sasaki dari Jepun (pusingan kedua) dan Qiu Yanbo dari China (suku akhir).
Sementara itu, kekecewaan Chong Wei diteruskan oleh beregu wanita negara Eei Hui-Pei Tty, pilihan keempat kejohanan yang tewas kepada pasangan bukan pilihan Cheng Shu-Zhao Yunlei dari China, 19-21, 21-5, 18-21.
Kejutan turut berlaku dalam final perseorangan wanita apabila pemain bukan pilihan Wang Yihan dari China menewaskan bekas pemain nombor satu dunia, Zhou Mi 21-19, 17-21, 21-15 dari Hong Kong, untuk menang kejohanan antarabangsa pertama dalam karier.
Wang, 20, yang memenangi kejohanan Universiti Dunia Mei lalu bangkit dari ketinggalan untuk mengatasi Zhou Mi, iaitu pemenang pingat gangsa di Olimpik Athens yang menukar kerakyatan Hong Kong tahun lalu dalam 61 minit.
Zhou Mi, 29, juara kejohanan Siri Super di Korea Selatan awal tahun ini, mendahului 9-5 pada set pembukaan, namun Wang berjaya bangkit mengikat mata 12 -12.
Penuntut Universiti Shanghai itu kembali bangkit selepas ketinggalan 14-18 untuk sekali lagi menyamakan kedudukan 18-18 dengan Zhou Mi.
Dalam set kedua, Wang sekali lagi bangkit dari ketinggalan 14-20 apabila mengutip empat mata berturut-turut, namun akhirnya tewas dengan permainan smash Zhou Mu.
Pada set terakhir Zhou selesa mendahului 8-4, namun Wang berjaya mengikat kedudukan 10-10.
Pada kedudukan 13-13, Wang mula memberi tekanan dan akhirnya mengatasi bekas rakan sepasukannya itu apabila pukulan pendeknya di depan jaring terkandas.