Malaysia bermula dengan yakin.
KUALA LUMPUR - Skuad negara mengorak langkah sulung yang meyakinkan dalam perlawanan pertama siri persahabatan bola sepak di Slovakia, kelmarin dengan diikat 2-2 oleh kelab Liga Perdana tuan rumah, Rimavska Sabota.
Malah, ketua pasukan negara, Shukor Adan bagaikan tidak terjejas dengan penggugurannya oleh Selangor, menanduk masuk gol pertama hasil sepakan sudut sayap kanan, Amirulhadi Zainal pada minit ketiga perlawanan di Stadium Rimavska.
Sekali pun dirapati tuan rumah menerusi jaringan Cizar Martin pada minit ke-38, Malaysia kembali di depan kira-kira tiga minit babak kedua bersambung apabila sayap kirinya, Ashaari Shamsuddin menyudahkan sepakan sudut Zairo Anuar Zailani.
Malangnya, sepakan bebas Zivanovic Nenad yang berasal dari Serbia menembusi gawang kawalan Syed Adney Syed Hussein untuk menyamakan kedudukan 2-2 pada minit ke-60 lantas menghampakan skuad bimbingan B. Sathianathan ini.
Malaysia turut beroleh satu peluang keemasan pada penyerang utamanya, Safee Sali yang hanya berdepan satu sama satu tetapi sepakannya di padang yang agak licin sempat ditepis keluar oleh penjaga gol kelab bahagian dua negara Eropah Timur itu.
Sathianathan dalam kiriman e-melnya berkata: ''Penguasaan bola kita bagus pada babak pertama sehingga beberapa peluang dicipta dan diuji ke gawang lawan. Gandingan tiga penyerang, Safee dan diapit oleh Zaquan Adha Radzak serta Nizaruddin Yusof bergerak baik tetapi benteng lawan bertahan kukuh.
"Babak kedua, saya mengubah kesebelasan utama tetapi mereka tetap bermain sebagai satu unit dan padat khususnya Ashaari yang kerap mencipta peluang serangan. Saya gembira dengan persembahan pasukan walaupun mereka tidak mencapai tahap kecergasan penuh.''
Menurut Sathianathan, aksi persahabatan kedua anak buahnya dijangka bertambah getir apabila diuji oleh sebuah kelab bahagian satu Liga Super Slovakia, Slovan Bratislava di Stadium Vion, hari ini. Tiga kelab lagi yang menanti ialah Lucenec FC, MFK Ruzeomberok dan FC Nitra.
Malaysia membuka kem latihan di Slovakia sebagai persediaan menghadapi Pestabola Merdeka Ke-40 dari 15 hingga 25 Oktober ini selain Piala Cabaran Grand Royal Myanmar (November) dan Piala Suzuki AFF di Thailand dari 5 hingga 28 Disember ini.
No comments:
Post a Comment