Jurulatih Belgium bimbing Roslinda.
KUALA LUMPUR - Kesatuan Olahraga Amatur Malaysia (KOAM) telah memilih jurulatih dari Belgium, Ely Van Vlierberghe untuk melatih atlet lompat bergalah negara, Roslinda Samsu.
Timbalan Presiden KOAM, Karim Ibrahim berkata, jurulatih baru berusia 56 tahun itu merupakan bekas atlet yang pernah melakukan lompatan setinggi 5.1 meter.
"Kami telah memilih seorang jurulatih dari Belgium bagi melatih Roslinda. Pemilihan jurulatih itu kerana dia mampu bertutur dalam bahasa Inggeris dan boleh membuat laporan prestasi atlet untuk dihantar kepada KOAM dan Majlis Sukan Negara (MSN).
"Selain itu, dia telah berjaya melatih beberapa orang atlet lompat bergalah yang berjaya seperti Patrick Desruelles dari Belgium dengan lompatan 5.60 meter dan Dirk Ledegen dengan lompatan 5.45 meter," katanya kepada Utusan Malaysia, di sini semalam.
Karim berkata, Vlierberghe adalah seorang atlet bergalah sejati dan mula menjadi jurulatih profesional sejak 1979.
Malah, jelas Karim, khidmat jurulatih Belgium itu turut mendapat rujukan dan sokongan daripada bekas juara lompat bergalah dunia, Sergei Bubka.
Katanya, KOAM terpaksa mengambil tindakan tegas tersebut bagi terus menggilap keupayaan yang dimiliki oleh Roslinda.
Jelas beliau, pihaknya telah memberi peluang kepada Roslinda dan jurulatihnya sebelum ini untuk mempamerkan persembahan terbaik tetapi ia gagal dilaksanakan.
Tambahnya, kadang kala atlet negara tidak faham dengan situasi dan usaha dilakukan oleh persatuan untuk mereka.
Sementara itu, Karim berkata, pihaknya juga berminat mendapatkan khidmat jurulatih dari Armenia, Robert Dmmiyan bagi membangunkan sukan lompat jauh di negara ini.
No comments:
Post a Comment