Tuesday, September 23, 2008

Keletihan Punca Kekalahan

Demam, letih jejas tumpuan saya - Chong Wei
LEE CHONG WEI
KUALA LUMPUR - Jaguh badminton negara, Datuk Lee Chong Wei menolak bahawa motivasinya sudah menurun selepas tamat Sukan Olimpik, bulan lalu, sebaliknya memberitahu dirinya keletihan ketika tewas kepada pemain Indonesia, Sony Dwi Kuncoro dalam saingan akhir Terbuka Jepun, kelmarin.
Selepas kalah mudah 17-21, 11-21 dan gagal mempertahankan kejuaraan, pemenang pingat perak Olimpik itu mengakui, beliau tidak mampu memberi permainan terbaik kerana amat letih.
Malah, kata Chong Wei, beliau juga demam beberapa hari sebelum berlepas ke Tokyo, namun tetap menggagahkan diri beraksi kerana statusnya sebagai penyandang juara.
"Saya belum puas dengan pencapaian saya dan sudah tentu saya mahukan lebih banyak kejuaraan. Pada saya, tiada guna bergelar pemain nombor satu dunia kalau asyik kalah perlawanan.
"Tetapi ketika menentang Sony, saya memang keletihan dan fizikal saya tidak berada pada tahap terbaik. Bukan saya tidak mahu menarik diri tetapi selaku juara bertahan jurulatih mahu saya turun beraksi.
"Bagaimanapun untuk kejohanan China Masters (bermula esok), saya minta dikecualikan sebab saya memerlukan rehat. Bukan saya mahu mengelak daripada bertemu Lin Dan, lagi pun dia (Lin Dan) sendiri tidak beraksi pada kejohanan itu,'' jelas Chong Wei.
Chong Wei memberitahu, beliau terpaksa mengharungi jadual latihan dan kejohanan yang amat padat dalam persiapan menghadapi Temasya Beijing bulan lalu, termasuk beraksi pada Piala Thomas di Jakarta, Mei lalu.
Ujarnya, sejurus berakhir kempen Olimpik, dia terpaksa pula memenuhi undangan pelbagai majlis sambutan dan hanya kembali memulakan latihan kurang dua minggu sebelum Terbuka Jepun bermula.
Katanya, jika keadaan mengizinkan, beliau akan kembali pada kejohanan Terbuka Macau, minggu depan, namun semua bergantung kepada keadaan fizikal ketika itu.
Chong Wei, 25, terlepas membawa pulang pingat emas Sukan Olimpik di Beijing, bulan lalu selepas tunduk mudah 12-21, 8-21 kepada Lin Dan dalam perlawanan akhir.
Ketika ditanya apakah beliau bimbang kedudukannya sebagai pemain nombor satu dunia akan terlepas dengan keputusan menarik diri di China Masters, Chong Wei menegaskan, itu semua tidak penting.
"Saya tidak kisah menjadi pemain nombor satu dunia atau nombor dua dunia, yang paling penting pada saya adalah merangkul kejuaraan.
"Apa pun, saya tidak fikir Lin Dan mempunyai kelebihan dengan penarikan diri saya sebab dia juga tidak bertanding di China Masters,'' katanya.
Chong Wei juga menjelaskan, permainan Sony adalah biasa saja tetapi keadaannya yang tidak cergas menyebabkan pemain utama Indonesia itu kelihatan cukup hebat di atas gelanggang.
"Sudah tentu orang yang menang nampak hebat, tetapi saya tidak mahu komen sangat tentang permainannya, pada saya ia biasa saja tetapi saya yang tidak bagus,'' ujar Chong Wei.

No comments: