Tuesday, September 23, 2008

Jurulatih Penentu Pasukan

Jurulatih penentu pasukan Nazrulerwan
KUALA LUMPUR - Siapa jurulatih yang dilantik, bakal mempengaruhi pasukan pilihan bekas bek tengah kebangsaan, Nazrulerwan Makmor dalam menghadapi musim baru persaingan bola sepak Liga Malaysia yang bermula 3 Januari ini.
Tulang belakang KL PLUS dan Selangor musim 2007-2008 ini meletakkan syarat itu kerana mahu menjamin tempatnya dalam kesebelasan utama pasukan berkenaan sekali gus mencerahkan peluang menyarung jersi negara semula.
"Bukan tawaran mana yang bergaji paling lumayan yang saya kejarkan, cuma kalau boleh, siapa jurulatih yang sesuai dengan cita rasa dan gemarkan cara permainan saya, pasukan itulah yang saya pilih," katanya kepada Utusan Malaysia, semalam.
Nazrulerwan, anak jati Johor Bahru, mengesahkan menerima tawaran daripada empat pasukan termasuk KL PLUS, naib juara Liga Perdana 2007-2008 dan Selangor yang meminjam khidmatnya bagi menghadapi Piala Malaysia yang berakhir bulan lalu.
Menurutnya, dua lagi pasukan yang berkisar di antara negeri dan kelab serta menawarkan khidmatnya masih dirahsiakan dan kata putusnya dijangka dapat dicapai sekurang-kurangnya pada minggu kedua Aidilfitri, bulan depan.
"FAS (Persatuan Bola Sepak Selangor) juga ada mengemukakan tawaran menyertai mereka tetapi saya meminta sedikit tempoh untuk memberikan jawapan. Ketua jurulatih Selangor pun belum dilantik dan saya mahu melihat sama ada dia sesuai dengan saya atau tidak," katanya.
Khidmat Dollah Salleh sebagai jurulatih Selangor sejak 2005 sudah tidak disambung FAS lagi selepas cuma mampu membawa skuad Merah Kuning ke tempat keempat Liga Super dan naib juara Piala FA dan Piala Malaysia musim lalu.
Nazrulerwan yang hanya memanaskan bangku simpanan skuad negara ketika Piala Asia di Kuala Lumpur tahun lalu, turut terlepas untuk beraksi dalam perlawanan akhir Piala Malaysia, bulan lalu di mana Selangor dikalahkan Kedah 3-2 kerana jangkitan mata dan kurang cergas.
Tanpa khidmat Evan Chisulo lagi kerana larangan terhadap pemain import bagi musim depan, posisi bek tengah Gergasi Merah tampak lebih cerah buat Badut sekali pun bakal bersaing sengit dengan Zaiza Zainal Abidin Hassan, Razman Roslan dan Ghani Rahman.
Nazrulerwan pernah membantu Selangor menjulang tiga gelaran, Liga Perdana, Piala FA dan Piala Malaysia 2005 sebelum berhijrah ke PKNS dan KL PLUS yang mana dia membentuk gandingan tengah dengan Hairul Nizam Haniff di bawah bimbingan Mat Zan Mat Aris.

No comments: