Tuesday, September 23, 2008

Sukan Lumba Kembara Tagih Iktiraf IPT

Sukan lumba kembara tagih pengiktirafan IPT
Oleh ABD. HALIM HADI rekreasi@utusan.com.my
SIRI Duathlon Universiti Malakoff 2008 (MUDS) yang berakhir selepas tiga pusingan di tiga buah universiti tempatan baru-baru ini berjaya mencapai matlamatnya mencungkil bakat muda di dalam sukan lumba kembara di negara ini.
Namun di sebalik semangat kental yang ditunjukkan oleh peserta yang sebahagian besarnya ialah pelajar institut pengajian tinggi (IPT), keupayaan mereka untuk terus mara dalam sukan itu seperti masih tersekat.
Hakikat itulah yang diakui oleh mereka ekoran kurangnya perhatian dan sokongan daripada pihak IPT malah lebih menyedihkan ia dianggap kurang prestij berbanding sukan-sukan padang dan olah raga.
MUDS anjuran Pertubuhan Malakoff Berhad dengan kerjasama PowerBar yang bermula di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Malaya (UM) dan berakhir di Universiti Pertahanan Malaysia (UPNM) pada 2 Ogos lalu bagaimanapun membuktikan kebangkitan pelajar dalam sukan itu.
‘Sukan anak tiri’
Pemenang tempat kedua kategori Wanita Universiti, Nazihah Abdul Ghani berharap pihak Universiti Teknologi Malaysia (UTM) tidak menganggap sukan dualtlon dan triatlon sebagai `sukan anak tiri' sebaliknya lebih berani menaja penglibatan pelajar di dalam sukan itu.
Beliau yang menyertai MUDS bersama lima rakan universiti berkenaan sebaliknya membuktikan keupayaan mengharumkan nama pusat pendidikan mereka melalui sukan itu.
“Kita minta agar pihak universiti supaya tidak meminggirkan sukan ini daripada arus sukan perdana.
“Sokongan yang diberikan pasti akan membuka lebih peluang kepada pelajar untuk mencapai kejayaan bagi pihak universiti ataupun negara,'' katanya ketika ditemui di UPNM, baru-baru ini.
Sehubungan itu, pelajar jurusan Industri Kimia itu berharap lebih banyak acara dan penglibatan diadakan oleh pihak universiti dengan penglibatan pihak swasta.
Pendapat Nazihan turut dikongsi bersama rakan universitinya, Nurul Hidayah yang mendapat tempat kelima dalam kategori yang sama.
Menurut Nurul Hidayah, keupayaan negara menganjurkan pertandingan bertaraf antarabangsa seperti Le Tour De Langkawi, Triathlon Desaru dan Langkawi Wilderness Challenge tidak seharusnya berakhir sekadar menjadi tuan rumah sahaja.
Perkembangan itu katanya jika dimanfaatkan sepenuhnya bakal melahirkan barisan pelapis dalam skuad sukan yang semakin popular sejak ia diperkenalkan melalui Sukan Asia Tenggara (SEA).
Juara kategori yang sama, Nor Juliana Ali dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) berkata, pengiktirafan pihak universiti kepada sukan seperti itu dapat memberi lebih pendedahan kepada pelajar.
“Selama ini fokus mereka (IPT) pada sukan universiti hanya tertumpu kepada bola sepak sahaja. Sedangkan ada pelajar yang lebih berbakat dalam sukan lain,” ujarnya.
Katanya, sebagai `atlet tersembunyi’ universiti, beliau bukan mengutamakan penghargaan tetapi cukup berpuas hati jika pihak universiti membantu memeriahkan penglibatan pelajar dalam sukan tersebut.
“Masih ramai yang tidak menghargai sukan seperti ini kerana kurang pendedahan mengenainya,” jelas beliau yang kecewa apabila usahanya menghebahkan pertandingan itu tidak dilayan oleh petugas pejabat universiti.
Pengakuan tidak berakhir di situ, bahkan pemegang anugerah Ironman termuda negara, Chan Jun Shen, 18, turut mengalami nasib yang sama.
“Sebelum menerima anugerah itu awal tahun ini, penglibatan saya dalam sukan ini lebih kepada usaha sendiri dan tidak banyak yang boleh bergantung kepada universiti.
“Sedangkan untuk mendapatkan sebuah basikal yang baik, pelepasan masa belajar dan sokongan bukan sesuatu yang mudah,” katanya.
Juara kategori Lelaki Universiti MUDS itu berkata, beliau menceburi sukan lumba kembara sejak berusia 16 tahun dan bermula tanpa latar belakang sukan.
“Sebelum itu saya tidak bermain apa-apa jenis sukan, tapi selepas memperoleh kejayaan demi kejayaan saya berlatih dengan lebih serius dan bercita-cita tinggi dalam sukan ini,” katanya.
Kini, semangat yang dicurahkan dibalas dengan sokongan daripada ahli keluarga dan mula mendapat pengiktirafan dari pihak universiti malah penyertaan UPNM pada pertandingan itu merupakan yang tertinggi, seramai 85 peserta.
MUDS
Pertandingan melibatkan acara berlari dan berbasikal sejauh 28 kilometer itu dibahagikan kepada tujuh kategori iaitu Terbuka (lelaki dan wanita), Universiti (lelaki dan wanita), Berganti-ganti (lelaki dan campur) serta media.
Sejak diperkenalkan pada 2003, MUDS menerima penyertaan dan sambutan yang semakin meningkat dengan penyertaan seramai 842 peserta pada tahun ini.
Turut mengambil bahagian adalah atlet duatlon negara, Mariana Mohammad daripada pasukan PowerBar yang menjadi juara kategori Terbuka Wanita dan Heidilee Mohammad, juara Terbuka Lelaki.

No comments: