Friday, September 26, 2008

Emosi bulan ramadhan

Emosi bulan Ramadan
Ibadah puasa mempunyai rahsia yang terlalu istimewa. Ia bukan sahaja berfungsi melahirkan manusia yang beriman, malah mendidik umatnya mengawal emosi kemarahan.
BERKATALAH dengan nada yang lembut dan halus terhadap pasangan yang sedang 'panas' hati.

RAMADAN sudah menghampiri pertengahan bulan. Ramadan yang penuh keberkatan dan kemuliaan ini semestinya dinanti-nantikan seluruh umat-Nya di muka bumi ini. Memang benar apa yang dijelaskan. Kehadirannya bukan sahaja mampu membentuk peribadi insaniah, malah menjana emosi manusia agar sentiasa terkawal.
Ibadat puasa menuntut kita bukan sahaja menahan lapar dan dahaga malah, anggota yang lain juga hendaklah turut berpuasa. Ini bermaksud, menyekat kejahatan percakapan lidah dan anggota tubuh daripada menyakiti orang lain terutama pasangan suami-isteri.
Namun, pertengkaran adalah suatu perkara yang tidak boleh dihindari. Jika ia tidak berhati-hati, masalah kecil akan menjadi besar. Sebagai contoh, disebabkan terasa lapar dan keletihan, kadangkala menyebabkan perkara kecil seperti membeli juadah berbuka atau mencari destinasi berbuka juga boleh menimbulkan pertengkaran.
Untuk menghindari hal yang tidak diingini ini berlaku, semak beberapa tip dalam mengharmonikan suasana rumah tangga, pada bulan Ramadan ini.
*** Tenang
Ambil sedikit masa untuk menenangkan fikiran kamu apabila perasaan ingin marah semakin menjelma. Kamu seharusnya pergi ke tempat lain atau ke satu sudut yang dapat mententeramkan jiwa amarah dan lepaskan ledakan itu di sana.
Sekiranya perlu, ambil waktu untuk pulihkan semula keadaan walaupun dalam masa yang lama. Setelah keadaan kembali tenang, temui kembali pasangan dan selesaikan masalah secara profesional dan bukannya dengan cara bertikam lidah.
Paling berkesan, sekiranya pasangan menimbulkan kemarahan atau membuat sesuatu yang boleh mencetuskan pergaduhan seperti mencerca dan berkata kesat kepada kamu, jangan kamu menyahutnya. Sebaliknya, hendaklah kamu berkata: 'saya sedang berpuasa'.
*** Hindari berkata, 'selalu' dan 'tidak pernah'
'Kamu selalu bersikap begini' atau 'kamu tidak pernah sedikitpun memahami perasaan saya'. Ucapan seperti ini seringkali terlontar dari mulut kamu mahupun pasangan pada setiap kali kemarahan memuncak. Padahal, penggunaan kata-kata seumpama ini akan mengeruhkan lagi keadaan kamu berdua. Hindari ucapan sedemikian atau cuba luahkan dengan cara yang lebih spesifik dan jelas.
*** Jauhi kata 'putus'
Walau apa pun masalah yang dihadapi, pertengkaran bukanlah faktor utama berakhirnya sebuah perhubungan. Jadi, janganlah sesekali kamu mengakhiri dengan mudah perhubungan yang dijalin sejak sekian lama atau mendeklarasikan hubungan kamu yang telah berakhir.
Fokus perhatian kamu pada intipati masalah yang sedang berlaku. Jangan biarkan diri hanyut dibawa arus emosi yang tiada kesudahan dan titik noktahnya.
AMALKAN sikap bekerjasama dan bantu-membantu dalam menempuh alam rumah tangga. - Gambar hiasan
*** Toleransi
Taktik bagus untuk menenangkan dan mendinginkan suasana adalah dengan berkata lembut dan halus kepada pasangan yang sedang 'panas' hati. Bersikap lebih toleransi, sabar dan tempatkan diri kamu di posisinya. Jika kamu tidak pernah melakukan hal ini terhadap pasangan, jangan harapkan dia akan berbuat perkara yang sama kepada kamu.
*** Jangan akhiri pertengkaran dengan pertengkaran
Ini bermaksud, jangan menjadikan pertengkaran yang berlaku itu berlarutan sehingga memberi kesan mendalam kepada kedua-dua pasangan. Siapa yang mulakannya dahulu bukannya menjadi persoalan penting, jika kamu berdua setuju untuk berdamai. Hentikan tindakan atau ucapan yang boleh mengeruhkan lagi pertengkaran baru.
*** Ucapan 'maaf'
Kata-kata ini sememangnya memiliki kekuatan magis yang amat besar dalam menyelesaikan pertengkaran. Mohon maaf sekiranya kamu menyakiti hati pasangan, selama tercetusnya pertengkaran, meskipun pertengkaran itu bukan berpunca daripada kamu sendiri.
Langkah terbaik daripada sebuah pertengkaran adalah saat menyatukan semula perhubungan. Jadi, titipkan hubungan cinta kamu dengan menyatakan perasaan sayang yang mendalam terhadapnya, bersempena bulan yang penuh keberkatan ini. - NOOR

No comments: