Friday, September 26, 2008

FAS distruktur semula

FAS distruktur semula
KUCHING - Peranan, objektif dan strategi Persatuan Bolasepak Sarawak (FAS) akan distruktur semula bagi mengembalikan kegemilangan dan memperbaiki kedudukan kewangan persatuan itu berikutan masalah hutang RM3.5 juta.
Menteri Pembangunan Sosial dan Urbanisasi Sarawak, Datuk Seri William Mawan Ikom berkata, proses penstrukturan semula itu akan direncana pegawai-pegawai FAS dengan input yang diterima daripada semua pihak yang terlibat secara langsung atau tidak langsung dalam pembangunan bola sepak di Sarawak.
"Peranan FAS mengendalikan pasukan senior dikekalkan dan dengan itu cadangan pembentukan Sarawak FC ditangguhkan," katanya dalam sidang akhbar di sini, semalam.
Pada 13 Mei lepas, Mawan mengumumkan bahawa sebuah kelab bola sepak baru yang akan memberi fokus kepada usaha memenangi trofi bola sepak utama buat Sarawak akan ditubuhkan.
Selain penstrukturan semula FAS, Mawan juga turut mengumumkan pembentukan Jawatankuasa Pemandu Pembangunan Bolasepak negeri diketuai Setiausaha Tetap Kementerian Pembangunan Sosial dan Urbanisasi, Ik Pahon Joyik dan Murni Suhaili yang merupakan Timbalan Presiden FAS.
"Peranan utama jawatankuasa pemandu adalah merancang dan melaksanakan program pembangunan jangka panjang untuk melahirkan lebih ramai pemain-pemain muda dengan cara sistematik," katanya.

No comments: