Friday, September 26, 2008

PDRM guna bakat polis

PDRM guna bakat polis saja
KUALA LUMPUR - Seumpama 'barah', masalah kewangan yang melanda beberapa persatuan bola sepak negeri kini merebak kepada pasukan yang berstatus kelab.
Pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang beraksi pada saingan Liga Super kini menjadi mangsa terbaru krisis kewangan apabila syarikat Inai Kiara, penaja musim lepas, dikatakan tidak lagi mahu menaja pasukan itu musim depan.
Pada musim 2007/08, PDRM mendapat penajaan hampir RM5 juta daripada syarikat itu sekaligus membolehkan mereka mendapatkan khidmat pemain-pemain terbaik tempatan dan pemain luar negara.
Hakikat itu diakui sendiri oleh jurulatih PDRM, K.Thaiyananthan yang menyatakan saingan musim 2009 yang bermula Januari depan akan menjadi lebih sukar kepadanya kerana pasukannya akan dibarisi pemain baru pada saingan Liga Super.
"Kita telah mengambil keputusan untuk melepaskan semua pemain dalam pasukan PDRM pada musim lepas dan pada musim 2009 pasukan ini akan diwakili sepenuhnya oleh anggota-anggota polis," katanya, semalam.
Thaiyananthan berkata persiapan dan latihan pasukan PDRM hanya akan bermula pada Oktober depan walaupun pasukan-pasukan lain telah memulakan latihan.
Beliau berkata, selain mengambil anggota sebagai pemain, beberapa pemain daripada skuad Piala Presiden PDRM yang berbakat akan turut diserapkan ke dalam pasukan utama.
"Kita juga sedang berusaha untuk memanggil kembali tiga anggota polis yang mewakili Sabah dan Sarawak pada musim lepas," katanya.
Pada musim lepas PDRM hanya menduduki tempat kesembilan daripada 13 pasukan dalam saingan Liga Super manakala bagi Piala FA sekadar mara ke pusingan kedua.
Saingan Piala Malaysia berakhir di peringkat suku akhir apabila tunduk kepada Selangor dengan kelebihan gol di tempat lawan setelah terikat agregat 3-3.

No comments: