Monday, September 22, 2008

CMP bukan koyakan ligamen

CMP bukan koyakan ligamen
DOKTOR,Saya tertarik dengan masalah kesihatan Hanim dalam ruangan Tanya Doktor Pakar, keluaran Kesihatan, Mingguan Malaysia pada 20 April lalu.
Saya seorang yang aktif bersukan dan berumur 14 tahun. Masalah yang saya hadapi juga berkenaan dengan lutut. Lutut saya akan berbunyi apabila saya hendak mencangkung ataupun hendak sujud.
Saya pernah berjumpa dengan doktor tetapi doktor berkata yang masalah ini hanyalah perkara biasa. Memang ia tidak berasa sakit tetapi saya hendak tahu mengapakah lutut saya berbunyi sedangkan rakan sebaya saya yang aktif tidak mempunyai masalah ini. Saya berharap agar doktor dapat memberitahu saya apakah puncanya.
- REMAJA
JAWAPAN,
Terima kasih kerana membaca jawapan pada keluaran 20 April tersebut. Masalah yang dihadapi Hanim adalah berkenaan dengan masalah kerosakan atau koyakan ligamen disebabkan kecederaan dalam aktiviti sukan.
Akan tetapi masalah REMAJA pula adalah lebih kepada bunyi pada lutut terutamanya semasa mencangkung dan sujud ketika solat.
Ini lebih kepada masalah rawan terutamanya melibatkan rawan di belakang tempurung lutut yang beratrikulasi dengan tulang femur.
Keadaan ini pada usia anda 14 tahun dinamakan Condromalacia Patella atau CMP. Sila dapatkan artikel saya yang diterbitkan pada 30 September 2007 dalam Mingguan Malaysia (www.utusan.com.my) kerana ada menceritakan berkenaan dengan masalah anda hadapi.
Selalunya imbasan sinar-X pada peringkat awal bagi CMP akan kelihatan normal kerana kerosakan pada rawan tempurung lutut atau patella berlaku pada mulanya di lapisan dasar dan permukaan luar yang berartikulasi dengan tulang paha, belum terjejas lagi.
Pergerakan melipat lutut atau mencangkung akan menyebabkan permukaan dalam patella berada in-contact (berhubung) dengan tulang femur di lipatan lutut, pada sudut 30 darjah.
Ini seterusnya boleh menyebabkan kesakitan dirasai dalam aktiviti yang melibatkan melipat lutut melebihi 30 darjah. CMP tiada kaitan dengan masalah ligamen dalam lutut tetapi anda dinasihatkan agar mengurangkan aktiviti sukan dan aktiviti lasak buat sementara waktu.
Sekiranya masih berterusan, perlulah berjumpa dengan Pakar Ortopedik untuk pemeriksaan lanjut dan juga pemeriksaan sinar-X.. Kerosakan berterusan boleh berlaku pada rawan tempurung lutut yang seterusnya akan merosakkan permukaan rawan tulang femur dalam jangka masa panjang.

No comments: