Monday, September 22, 2008

Golf kempunan kali ke-6

Malaysia kempunan ke Piala Dunia
KUALA LUMPUR - Hajat Malaysia melayakkan diri ke Kejohanan Golf Piala Dunia selepas tujuh tahun terus menemui jalan buntu apabila gagal melepasi kelayakan pada Cabaran Antarabangsa Fortis, semalam.
Pasangan negara, Ian Steel dan Danny Chiah sekadar berkongsi kedudukan kelima bersama gandingan Singapura, Mardan Mamat dan Lam Chih Bing yang turut mengharungi saingan mengecewakan.
Hanya tiga pasukan terbaik layak beraksi pada kejohanan yang akan berlangsung di Shenzen, China pada 27-30 November itu dan ia menjadi milik Korea Selatan (Bae Sang-moon, Kim Hyung- tae), Filipina (Angelo Que, Mars Pucay) serta Itali yang diperkuatkan oleh Francesco Molinari dan Edoardo Molinari.
Kali terakhir Malaysia berjaya melayakkan diri ke Piala Dunia adalah pada 2001 menerusi pasangan Danny dan P. Gunasegaran, malah Danny turut melayakkan diri pada kejohanan 2000 bersama Rashid Ismail.
Semalam, pasangan negara beraksi baik menggunakan format foursome (bergilir pukulan) apabila mencatat tiga bawah par 69 di Kelab Golf & Country Kota Permai, malangnya catatan itu tidak mampu meletakkan mereka pada kedudukan tiga teratas.
Danny dan Steel mengumpul 11 bawah par 277 selepas tamat empat hari kejohanan - tujuh pukulan di belakang pasukan tangga ketiga, Itali tetapi sembilan pukulan dipisahkan oleh pendahulu, Korea Selatan.
Kombinasi Sang-moon dan Hyung- tae muncul juara Cabaran Fortis selepas menutup saingan di Kota Permai dengan enam bawah par 66 seterusnya mengumpul 20 bawah par 268 keseluruhan.
Pendahulu pusingan sebelumnya, Filipina pula mencatat dua bawah par 70 dan mengumpul 271 pukulan keseluruhan, 17 bawah par.
Nigeria menamatkan cabaran di tempat keempat selepas kombinasi Oyebanji Gboyega dan Odoh Andrew Oche mengumpul 276 pukulan, satu pukulan di depan Singapura dan Malaysia.
"Piala Dunia adalah kejohanan yang berkualiti tinggi dengan dibarisi pemain-pemain handalan, ia merupakan satu pencapaian besar buat kami dapat menjadi sebahagian daripada kejohanan itu.
"Walaupun kami tidak pernah digandingkan sebelum ini, tetapi saya gembira kami berjaya mempamer aksi yang mantap di sini. Saya tidak sabar untuk beraksi pada Piala Dunia di China,'' kata Sang-moon.

No comments: