Monday, September 22, 2008

Inter Milan pimpin takhta

Inter pimpin takhta
IBRAHIMOVIC meraikan jaringannya ketika menentang Torino pada aksi Serie A semalam.
MILAN - Inter Milan mempamerkan corak permainan menarik untuk melonjak ke kedudukan teratas saingan Serie A buat kali pertama musim ini selepas mencatat kemenangan 3-1 ke atas Torino semalam.
Juara bertahan sebanyak tiga kali itu memperoleh gol pertama hasil jaringan sendiri Marco Pisano dan satu gol masing-masing menerusi Maicon dan Zlatan Ibrahimovic.
Kemenangan yang dicatat hadir hanya empat hari selepas Inter menewaskan Panathinaikos 2-0 pada aksi Liga Juara-Juara minggu lalu.
Selepas tiga perlawanan, Inter memimpin kedudukan teratas dan berkongsi tujuh mata bersama Juventus.
Pada aksi di Stadium Olimpik di Turin semalam, jurulatih Inter, Jose Mourinho mempertaruhkan tiga penyerang yang diketuai oleh Ibrahimovic, Mancini dan Adriano.
Mancini menyambar hantaran daripada Adriano dan melepaskan satu sepakan yang kencang dalam kotak penalti tetapi terkena pemain pertahanan Torino, Pisano lalu menerjah jaring untuk menghadiahkan gol pertama pada minit ke-24.
Dua minit kemudian, Ibrahimovic beraksi cemerlang untuk membantu pemain pertahanan Brazil, Maicon menjaringkan gol kedua Inter sebelum dia meledakkan gol kedua peribadi musim ini pada minit ke-51 hasil satu serangan balas yang pantas.
Namun Elvis Abbruscato berjaya merapatkan jurang pada minit ke-76 dan kemudiannya sekali lagi mencemaskan pintu gol Inter tetapi percubaannya terkena palang pada minit ke-86.

No comments: