Monday, September 22, 2008

YOB tumpul tanpa Import

Perak perit untuk mara selagi tanpa jaringan gol
KUALA LUMPUR - Perak menghadapi masalah ketara untuk melepasi Safa SC Lebanon ke separuh akhir selagi gagal mencari penyamaan dua gol pada perlawanan suku akhir bola sepak Piala AFC di Beirut, esok.
Malah, ketiadaan penyerang utama, Khalid Jamlus kerana kecederaan urat pelipat lutut dan kecekapan penjaga gol lawan, Nazih Tay menyulitkan laluan skuad Seladang untuk mengejar ketinggalan 2-0 daripada suku akhir pertama di Ipoh, minggu lalu.
Khalid cuma mampu bermain 12 minit di Stadium Perak dan kecergasan bekas penyerang negara itu masih diragui dan penggantinya, Danial Fadly Abdullah yang dijadikan penyerang bidan terjun, belum dapat menyesuaikan diri dengan peranan baru itu.
Nazih yang menyelamatkan percubaan berbahaya pemain tengah negara, Hardi Jaafar menerusi sepakan percuma, bakal menjadi 'duri dalam daging' Perak apatah lagi bertemankan sokongan ribuan penyokong mereka di Stadium Sports City, Beirut.
Jurulatih Perak, Steve Darby turut mengakui anak buahnya kekurangan dari segi fizikal dengan lawan apatah lagi turun ke Piala AFC tanpa khidmat dua tonggak import, Carlos Caceres (penyerang) dan pemain tengah, Jorge Munoz sebaik sahaja berakhirnya Piala Malaysia, bulan lalu.
Seorang lagi penyerang tempatan, Razali Umar Kandasamy menghilang setelah tidak turun menjalani latihan manakala khidmat Ahmad Fakri Saarani masih sukar diperoleh kerana bersama skuad bawah 19 tahun Malaysia, Harimau Muda dalam siri persahabatan di luar negara.
Perak juga dijangka melakukan beberapa pertukaran dan perubahan formasi pemain dengan pilihan terdekatnya ialah cuba menggunakan Mohd. Nor Ismail sebagai penyerang dan mengembalikan Danial untuk menjana peluang dan serangan dari tengah.
"Safa SC lebih bagus dari segi itu dan sukar bagi Perak menandingi mana-mana pasukan Asia Barat seperti ini tetapi bukan bererti kami terlalu ketinggalan kerana kami masih banyak mencipta peluang cuma dinafikan oleh penjaga gol mereka," kata Darby, jurulatih dari England.
Menurut Darby, lawan cuma mampu menjaringkan dua gol di Ipoh menerusi gerakan bola mati, masing-masing dengan sentuhan Rony Azar dan Hamid Termina pada minit ke-39 dan 55 yang membuktikan sedikit tuah turut menyebelahi mereka di sebalik peluang yang terhad.
Pencapaian terbaik Perak dalam Piala AFC ialah suku akhir pada 2004 setelah kalah kepada kelab Singapura, Geylang United dengan agregat 5-3 tetapi tahun berikutnya menyaksikan mereka tercorot di peringkat Kumpulan D lagi.
Sementara itu, jurulatih Safa, Samir Saad dalam laman web Gabungan Bola Sepak Asia (AFC), the-afc.com dipetik sebagai berkata, dia tidak menganggap tiket separuh akhir sudah berada di genggaman mereka dengan bekalan kemenangan 2-0 dari Ipoh.
Sekalipun cuma perlu seri tanpa jaringan untuk mara ke separuh akhir, Samir masih mahu anak buahnya memusatkan semula perhatian mereka kepada cabaran lawan di Beirut biarpun berkedudukan selesa kerana turut memiliki kelebihan gelanggang sendiri.
"Taraf kedua-dua pasukan masih sama dan hanya kejayaan menyumbat gol daripada sedikit peluang yang membezakan kami. Tiket separuh akhir belum terjamin dan kami perlu berwaspada kerana mungkin Perak tampil lebih cergas kali ini," katanya.

No comments: