Monday, September 22, 2008

F1 Malam Bimbangkan pelumba

F1 malam bimbangkan pelumba
Oleh sayed hesham idris
Singapura akan menganjurkan perlumbaan F1 malam pertama minggu depan.
Berlumba pada waktu siang sudah menjadi kelaziman dalam perlumbaan kereta yang menuntut kepantasan maksimum, Formula Satu (F1).
Namun perlumbaan F1 GP Singapura minggu depan menjanjikan cabaran berbeza apabila buat pertama kali perlumbaan tersebut akan diadakan pada waktu malam.
Debarannya ditambah pula dengan saingan di litar jalan raya dan bukannya litar khas seperti dalam siri pusingan di litar khas.
Perlumbaan malam itu sememangnya amat dinanti-nantikan oleh para peminat F1 di seluruh dunia.
Perlumbaan pada waktu malam itu akan menjadikan ia perlumbaan yang amat mendebarkan.
Bagi para pelumba, timbul pelbagai reaksi mengenai perlumbaan tersebut.
Ada yang sudah tidak sabar-sabar untuk merasai pengalaman berbeza memecut di trek yang diterangi cahaya lampu.
Namun ada juga yang bimbang terhadap faktor keselamatan memandangkan perlumbaan diadakan di litar jalan raya, juga faktor cuaca.
Bagi pendahulu keseluruhan, Lewis Hamilton dari McLaren, dia menjangkakan perlumbaan malam yang pertama kali diadakan di litar jalan raya di Singapura lebih sukar dan begitu teknikal berbanding di litar biasa.
''Sukar untuk membayangkan bagaimana keadaan berlumba di waktu malam.
''Berlumba atas litar dengan dinding bata setiap sudut, membuatkan saya rasa perlumbaan tersebut begitu teknikal dan sukar untuk memotong, termasuk bayang-bayang dan sebagainya,'' kata pelumba Britain yang berusia 23 tahun itu.
Perlumbaan malam yang akan diadakan di jalan raya Central Business Distric, Kota Singa itu telah mendapat perhatian di kalangan seteru Hamilton, Kimi Raikkonen.
Menurut pelumba Ferrari itu, litar di Singapura begitu asing baginya.
“Saya akan ke sana lebih awal untuk melihat dan berjalan di litar tersebut bersama jurutera saya.
''Kami akan memandu di sekitar kawasan tersebut untuk memastikan saya mengetahui semuanya termasuk bonggol dan selekoh,'' kata Raikkonen.
Bagi rakan sepasukan Raikkonen, Felipe Massa, GP Singapura tetap diselubungi kebimbangan dari aspek keselamatan kerana ia diadakan pada waktu malam.
“Ia litar baru, kami tidak tahu langsung mengenainya, jadual perlumbaan, masa perlumbaan.
“Kami agak bimbang terhadap perlumbaan malam, cuaca buruk mungkin melanda ketika perlumbaan,’’
“Ia satu persoalan besar bagi semua orang, kita tidak harus memandang ringan apa jua keadaan yang mungkin melanda,’’ kata Massa.
Singapura menjadi litar baru kedua bagi perlumbaan F1 di trek laluan jalan raya selepas Valencia.
Perlumbaan F1 pusingan ke-15 di Singapura mencetus kebimbangan kerana ia diadakan pada penghujung musim monsun.
Tidak seperti trek di Valencia yang pernah mengadakan perlumbaan formula untuk kelas remaja sebulan sebelum perlumbaan F1 GP Valencia bagi mengenal pasti sebarang masalah, sebaliknya trek F1 di GP Singapura tidak diuji.
Bagi pelumba Toyota, Jarno Trulli, trek di Valencia, penganjur melakukan tugas dengan baik, jadi saya yakin penganjur dapat menjalankan tugas dengan baik untuk GP Singapura.
“Cuma lokasi trek di Singapura ini berbeza (berbanding Valencia di Eropah), begitu juga perbezaan cuaca.
“Kami semua agak kurang pasti dalam banyak hal atau mungkin juga kerana tidak banyak data mengenai trek di Singapura yang kami peroleh.
“Saya belum melihat bentuk trek, namun ia bukan masalah. Tetapi masalah yang lebih utama ialah kami tidak tahu sama ada trek tersebut cukup baik untuk perlumbaan F1.
“Adakah permukaan jalan cukup bagus, adakah faktor keselamatan cukup bagus untuk perlumbaan malam, bagaimana jika trek basah.
“Wujud pelbagai pertanyaan dan persoalan. Saya bukan tidak mahu berlumba di sana, cuma kita perlu mengambil kira dan mengatasi beberapa masalah yang timbul pada perlumbaan di Valencia,” kata Trulli.
Sementara itu, sejajar dengan kelainan iaitu perlumbaan malam pertama F1, penganjur perlumbaan `F1 SingTel Singapore Grand Prix’ baru-baru ini telah menunjukkan sistem lampu yang akan digunakan pada perlumbaan malam pertama itu.
Perunding lampu untuk perlumbaan itu, Valerio Maioli S.p.A. memetik suis 16 projektor lampu yang diletakkan di atas kawasan seluas 64 meter di Jalan St. Andrew.
Cahaya yang dipancarkan dari lampu tersebut menjadikan trek cerah dan kelihatan seperti pada waktu siang.
Secara keseluruhan, hampir 1,500 lampu projektor akan dijana oleh 12 generator berkembar.
Ia akan menghasilkan keseluruhan peringkat 3000lux, iaitu tahap untuk menerangi litar yang menyamai standard HDT (High Definition Television).
Ini bermakna litar yang akan digunakan dalam perlumbaan F1 kelak, empat kali lebih terang berbanding kecerahan jika menggunakan lampu limpah di stadium biasa.
Pemasangan sistem lampu dilaksanakan secara berperingkat yang bermula di Pit Straight pada Mei lalu dan siap pada 31 Ogos lalu.

No comments: