Monday, September 22, 2008

Robinho RM 1juta Seminggu

Robinho terima gaji RM1j seminggu
PENYERANG sensasi Brazil, Robinho tidak sekadar mencatat rekod yuran perpindahan tertinggi Liga Perdana England (EPL) dengan bayaran 32.5 juta pound atau RM199 juta apabila menyertai Manchester City Selasa lalu malahan dia merupakan sensasi baru dalam EPL musim ini.
Robinho, 24, bekas penyerang Real Madrid dilaporkan menerima gaji AS$300,000 atau lebih RM1 juta seminggu di City, menjadikan dia pemain mendapat bayaran paling tinggi.
City yang baru mendapat suntikan kewangan daripada pengambil alihan kelab oleh kumpulan perniagaan Emiriah Arab Bersatu, Kumpulan Abu Dhabi United (ADUG) membuat tawaran lumayan untuk penyerang berusia 24 tahun itu.
Sebelum ini, Robinho mengulangi hasratnya mahu meninggalkan Real Madrid tetapi bukan untuk menyertai City, sebaliknya Chelsea.
Chelsea merupakan kelab yang bersungguh-sungguh mahu mendapatkan pemain muda Brazil itu sebelum ini, namun hubungan dingin mereka dengan Real, ditambah tawaran lebih menarik yang dikemukakan City menjadikan keputusan berpihak kepada City.
Robinho membantu Real Madrid merangkul kejuaraan liga Sepanyol sejak dua musim lalu.
Pemain itu menjaringkan 11 gol dalam 42 penampilan bersama Brazil.
City membayar 6 juta euro (RM29.9 juta) semusim kepada pemain itu iaitu tiga kali ganda daripada gaji yang diterimanya ketika di Madrid.
Penyerang Brazil, Jo, merupakan antara pemain yang paling berani dalam sejarah EPL apabila sanggup menyertai City pada awal musim ini sedangkan City sebuah kelab yang tidak pernah memenangi sebarang trofi besar sejak 1976.
Chelsea sebelum ini amat yakin akan mendapatkan Robinho, pemain yang pastinya mampu melariskan jualan jersi kelab itu, namun tawaran 32 juta euro (RM159.2 juta) mereka ditolak oleh Real.
Begitupun Presiden Real, Ramon Calderon menyifatkan Robinho ke City sebagai pemain yang kecewa dan berdepan tekanan perasaan.
Alasan itu juga dikatakan telah mendorong Madrid bertindak menjual pemain itu kepada City.
“Mental pemain itu teruk. Masalah yang membelenggunya lebih teruk daripada apa yang kami jangkakan. Apabila kami berbincang mengenai kedudukannya, dia menangis dan meminta dilepaskan.
“Sebenarnya kami tidak berniat menjualnya namun kami terpaksa (menjualnya) atas sebab kemanusiaan dan kesukanan,’’ kata Calderon.
Namun Robinho mempunyai alasan tersendiri untuk meninggalkan Madrid. Kelab itu didakwanya telah memperlekehkan bakatnya kerana mahu mendapatkan penyerang Portugal dan Manchester United, Cristiano Ronaldo.
Madrid dikatakan mahu menjual Robinho dan bayaran perpindahan tersebut kemudian akan digunakan untuk membeli Ronaldo.
Begitupun `trend’ berbelanja besar untuk mendapatkan pemain ternama dipandang sinis oleh pengurus Arsenal, Arsene Wenger yang berpendapat kekayaan sesebuah kelab bukan jaminan ia akan bergelar juara.
“Wang bukanlah segala-galanya dalam mengejar kejuaraan. Anda tidak perlu memiliki jutawan. Banyak kelab yang berbelanja besar tetapi tidak semuanya berjaya.
“Kami juga memiliki kewangan besar tetapi membelanjakannya dengan baik,’’ kata Wenger.
Selain Robinho, EPL turut mencatat perpindahan dengan bayaran tinggi musim ini yang melibatkan beberapa pemain lain seperti Dimitar Berbatov dari Tottenham Hotspur ke Manchester United, sebanyak 30.75 juta pound iaitu yang kedua tertinggi selepas Robinho.
Seorang lagi pemain Tottenham Robbie Keane menyertai Liverpool dengan bayaran 20.3 juta pound, pemain Brazil, Jo menyertai City dari SCKA Moscow dengan bayaran 18 juta pound.
Lain-lain pemain luar yang berhijrah ke EPL termasuk Luka Modric (Dinamo Zagreb ke Tottenham Hotspur), Roman Pavlyuchenko (Spartak Moscow ke Tottenham Hotspur) dan Samir Nasri (Olympique Marseille ke Arsenal).
EPL liga terkaya di dunia
Rekod baru telah dicatatkan apabila sebanyak 500 juta pound (RM3.05 bilion) dibelanjakan oleh kelab-kelab EPL musim ini untuk membeli pemain dalam pasaran pertengahan tahun.
Perpindahan di saat akhir Selasa lalu menyaksikan Robinho berpindah dari Real Madrid ke Manchester City dengan nilai perpindahan 32.5 juta pound dan Dimitar Berbatov berhijrah dari Tottenham Hotspur ke Manchester United dengan bayaran RM188 juta) menjadikan jumlah yang digunakan bernilai 500 juta pound (RM3.05 bilion).
Ini bermakna jumlah yang dibelanjakan bagi membeli pemain musim ini meningkat sebanyak 30 juta pound (RM183 juta) berbanding musim lalu.

No comments: