Monday, September 22, 2008

United Tidak sabar Menanti Chelsea

United bagai singa luka, dendam Chelsea membara
Oleh FERZALFIE FAUZI
Cristiano Ronaldo
PERTEMBUNGAN dua musuh rapat musim lalu Chelsea dan Manchester United dalam Liga Perdana England (EPL) kembali memuncak, selepas mereka dijadualkan bertemu semula pada saingan musim ini esok.
Jika diimbas kembali persaingan antara dua kelab itu musim lalu, tuah ternyata milik pasukan bimbingan Sir Alex Ferguson, bukan sahaja berjaya merangkul kejuaraan liga malah turut menggondol gelaran Liga Juara-juara Eropah mengalahkan Chelsea dengan penentuan sepakan penalti.
Pada pertembungan musim lalu masing-masing berjaya memenangi perlawanan di laman sendiri dengan United menumpaskan Chelsea 2-0 di Old Trafford, sebelum Chelsea memulangkan `paku buah keras’ di Stamford Bridge dengan menang 2-1.
Kedua-dua pasukan mempunyai matlamat masing-masing dalam pertembungan esok, jika Chelsea mahu meneruskan rekod tanpa kalah, United pula mahu mengubat kekecewaan selepas tewas kepada Liverpool minggu lalu.
Pasukan Red Devils boleh dianggap sebagai ‘singa luka’ yang akan mencari pasukan lain untuk dijadikan mangsa amukan, lebih mengujakan mereka akan mendapatkan semula sentuhan pemain sayap Portugal, Cristiano Ronaldo.
MantapPemain yang memakai jersi nombor tujuh dan memiliki sepasang kaki `tergantung’ itu pasti akan menjadi sandaran utama walaupun tidak dapat membantu United mencatat kemenangan dalam Liga Juara-juara Eropah bertemu Villarreal Rabu lalu.
Ronaldo yang baru pulih dari kecederaan buku lali menjadi tonggak utama United musim lalu dan akan kembali esok dengan membawa harapan tinggi dari peminat setia Red Devils.
Sedikit mendukacitakan buat pasukan bimbingan Ferguson itu apabila mereka tidak dapat menurunkan pertahanan tengah Nemanja Vidic yang digantung selepas dilayangkan kad merah ketika bertemu Liverpool minggu lalu.
Selain itu United juga kehilangan pemain tengah Micheal Carrick yang mengalami kecederaan juga ketika bertemu Liverpool di Anfield, Sabtu lepas.
Sementara itu Chelsea pula berada dalam keadaan terbaik dari setiap sudut, mereka cuma kehilangan Michael Essien yang mengalami kecederaan lutut sementara pemain lain sudah bersedia untuk menggempur United.
Jika United memiliki sentuhan emas dari Portugal (Ronaldo), Chelsea juga tidak ketinggalan mempunyai tonggak dari negara `Brazil Eropah’ itu, bukan sahaja satu tetapi dua pemain yang baru dibelinya musim ini.
Deco dan Jose Bosingwa tidak menghadapi masalah dalam aksi pertama mereka di EPL, malah berjumpa kembali dengan jurulatih yang membimbing mereka dalam pasukan kebangsaan Luis Felipe Scolari.
Persembahan mantap dari Deco membolehkannya dinobatkan sebagai pemain terbaik EPL untuk bulan Ogos selepas menjaringkan dua gol dalam empat perlawanan.
Tanpa perlu mengharapkan barisan penyerang, Chelsea mempunyai rangkaian pemain tengah yang mampu untuk menjaringkan gol tidak kira dari sudut mana sekali pun.
Frank Lampard, Joe Cole, Deco, Florent Malouda dan Michael Ballack merupakan pemain tengah yang mampu memberikan ancaman di gawang United.
Manakala kehadiran semula John Terry yang terselamat dari episod penggantungan selepas Persatuan Bola Sepak England (FA) menarik semula keputusan itu memberi kelegaan buat Chelsea.
United pula mungkin terpaksa menggunakan pertahanan muda Jonathan Evans dari Ireland Utara untuk menggantikan tempat yang ditinggalkan Vidic.
Walau apa pun ramalan dan telahan ia bergantung kepada perlawanan esok dan mereka yang mampu menyerap tekanan serta menguasai bahagian tengah bakal menjadi pemenang.
Dendam membara Terry dan rakan-rakan masih lagi meluap selepas mereka dikecewakan oleh United sebanyak dua kali musim lalu.
Sementara Ronaldo perlu membuktikan kehebatannya dan mempamerkan persembahan hebat sebagai tanda kemaafan kepada peminat United selepas keinginannya untuk menyarung jersi Real Madrid menimbulkan kemarahan penyokong.

No comments: